TARIKH keramat 31 Ogos 1957 yang pasti amat bermakna kepada seluruh anak Malaysia termasuk tiga bintang berdarah kacukan iaitu Cristina Suzanne, Zul Ariffin dan Sarah Hildebrand.

Biarpun darah yang mengalir dalam diri tiga bintang itu mungkin tidak sama dengan mereka yang berdarah Melayu asli, namun tarikh keramat itu sentiasa diingati sepanjang zaman sebagai detik paling bersejarah apabila negara mencapai kemerdekaan serta bebas daripada cengkaman penjajah.

Saat diajak untuk menjayakan sesi fotografi sempena ulang tahun kemerdekaan ke-58 negara tercinta Malaysia esok, tiga anak seni berdarah kacukan itu lantas memberikan persetujuan.

Zul Ariffin, pelakon kacak kelahiran Taiping, Perak yang semakin mendapat perhatian khalayak atas kredibiliti kerja dan usaha keras yang dilakukannya berkongsi kisah Hari Kemerdekaannya saban tahun.

Kata Zul yang berdarah campuran Melayu – Belanda itu, erti sebuah kemerdekaan bukan setakat bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi juga matang dan mampu membuat sesuatu keputusan dalam hidup dengan penuh kebijaksanaan.

“Sebagai negara yang bebas daripada cengkaman dan pengaruh penjajah, kita juga bebas untuk memilih dan membuat apa sahaja pilihan untuk diri tanpa sebarang paksaan,” ujarnya membuka bicara.

Tambah Zul, sejak kecil dia telah diajar oleh kedua-dua ibu bapanya untuk belajar berdikari dan diberi kebebasan dalam menentu hala tuju hidupnya supaya tidak terlalu bergantung harap pada keluarga.

“Selama ini, ibu bapa memang memberi kebebasan dan tidak pernah mengongkong saya untuk memilih apa saja yang ingin saya lakukan seperti bidang yang diceburi dan apa yang saya sasarkan untuk masa depan.

“Semuanya terpulang pada saya. Andai perkara yang dilakukan itu memberi kesan negatif, saya perlu bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat,” terangnya.

Beralih bicara tentang makna tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-58 tahun ini, Sehati Sejiwa kata Zul, dia mempunyai harapan besar untuk melihat industri seni tanah air bersatu hati dalam memartabatkannya di mata dunia.

“Bagi saya, industri seni tanah air perlu fokus dan mencari jalan terbaik bagaimana untuk memenangi hati rakyat Malaysia supaya menyokong setiap produk baharu yang diperkenalkan dalam industri seni bagi membawa naskhah tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Secara peribadi, dengan cara ini, saya yakin industri hiburan akan lebih dikenali di setiap pelusuk dunia dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk menyertai industri hiburan, sekali gus menolak persepsi negatif orang ramai terhadap cabang kerjaya di industri hiburan,” katanya.

Pasang surut

Sementara itu, bagi aktres berdarah kacukan Amerika Syarikat dan Melayu, Cristina Suzanne, dia punya pengertian dan cerita istimewa ketika menyambut Hari Kemerdekaan.

“Kemerdekaan bukan sekadar laungan, tetapi mesti dihayati dengan penuh kesyukuran kerana negara sudah punya kedaulatan, rukun negara dan bebas daripada penjajah. Hari ini, Malaysia berdiri megah sebagai sebuah negara berdaulat dan berdaya maju.

“Terus terang, saya bersyukur dan bertuah kerana dibesarkan di negara serba indah ini. Walaupun negara sedang berhadapan dengan bermacam-macam masalah, namun saya tetap optimis dan menganggap ia adalah sesuatu yang normal. Setiap negara pasti ada pasang surutnya,” kongsi Cristina.

Tambah pemilik nama sebenar Cristina Suzanne Stockstill itu, dia pernah menyambut kemerdekaan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan, Pahang (MPK) bersama keluarganya.

Bagaimanapun, tradisi itu semakin hilang apabila anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu meningkat dewasa dek kerana kesibukan kerja membataskannya untuk meraikan hari bersejarah itu seperti zaman kanak-kanak.

Sarah sanjungi Tun M

Dalam pada itu, pendatang baharu berdarah kacukan Melayu-Amerika, Sarah Hildebrand mengatakan, dia amat menyanjungi mantan Perdana Menteri keempat yang juga tokoh terbilang, negarawan yang disanjung seluruh negara dan dunia Islam, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Jujur saya katakan, saya amat menyanjungi keperibadian Tun Mahathir. Bagi saya, beliau seorang tokoh yang sangat menyayangi negara dan bangsa.

“Beliau juga seorang pemimpin yang bijak sehingga membawa perubahan besar kepada negara. Saya sangat menyukai sifat rendah diri yang dimiliki beliau,” ujarnya.

Tambah Sarah yang popular menerusi drama Hujan Pagi itu, sempena menyambut sambutan kemerdekaan negara ke-58, dia bakal terlibat dengan sebuah kempen kemerde­kaan dianjurkan syarikat Zubedy Sdn. Bhd.

“Sempena menyambut kemerdekaan negara esok dan Hari Malaysia pada 16 September ini saya telah mengambil inisiatif untuk terlibat dalam sebuah kempen yang dinamakan #SaySomethingNice2015.

“Kempen ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara anak muda dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum,” katanya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here