Datuk Eric See-To tidak kisah dengan pelbagai gelaran yang ditujukan kepadanya kerana mengkritik pembangkang, dan menggesa orang ramai supaya tidak takut untuk menegur Pakatan Harapan (PH).

Dalam sebuah forum semalam, timbalan pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau kerap dipanggil “budak suruhan” dan dilabel sebagai pengkhianat kaum kerana mengkritik pembangkang atau memuji BN” katanya.

Turut hadir pada forum itu ialah calon MCA bagi kerusi negeri Damansara, Ho Kwok Xheng, Tan Gim Tuan (Kampung Tunku) dan Ch’ng Soo Chau (Bandar Utama).

Merujuk pemimpin veteran DAP, Tan Seng Giaw sebagai contoh, Eric berkata panggilan demikian juga digunakan terhadap politikus pembangkang yang mengkritik pemimpin parti mereka.

Minggu lepas, Tan dilaporkan berkata sebilangan ahli DAP menggelarnya “budak suruhan” dan pengkhianat parti dan menuduhnya dibayar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana pendiriannya yang tidak ada bukti mencukupi untuk mengaitkan Najib dengan skandal 1MDB.

Namun begitu, kata Eric, ramai yang takut untuk mempersoalkan pembangkang dan meminta “rakyat” supaya tidak bersikap demikian.

Sebaliknya kata beliau, rakyat mesti mempertanggunjawabkan PH dan tidak membiarkan mereka “terlepas daripada kesalahan”.

“Kita tanya dan mereka mesti jawab. Mereka tidak boleh terlepas dengan berbohong kepada kita,” katanya.

Eric berkata, selepas PRU lalu, beliau memutuskan untuk mencabar pembangkang berikutan dakwaan ribuan warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi BN, di samping dakwaan kejadian terputus bekalan letrik ketika pengiraan undi adalah dirancang untuk memenangkan BN dalam pilihan raya itu.

Pada waktu itu beliau sedar rakyat hidup dalam masyarakat yang tertutup dan mudah dimanipulasi dengan propaganda pembangkang, dan oleh sebab itu memutuskan untuk tidak membiarkan kawan-kawannya terus tertipu.

“Keadaan itu memberi motivasi kepada saya untuk berbuat sesuatu. Kita mahu rakyat mengundi berdasarkan maklumat tepat dan fakta, bukannya dimanipulasi dengan animasi dan grafik menarik.

Eric turut memberikan penjelasan berkaitan foto tersebar luas menunjukkan Najib serta isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan peniaga kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, di atas sebuah kapal layar.

Najib berdiri di tengah-tengah foto sementara keluarga beliau berada di sebelah kiri.

“Ada seorang lelaki berbadan tinggi di kanan, beliau adalah anak ke-7 Raja Abdullah dari Arab Saudi, dan Jho Low berdiri di sebelah putera Saudi itu.

“Putera itu merupakan gabenor wilayah Riyadh. Tidak ada salahnya perdana menteri bertemu beliau.

“Jho Low mewakili Petro Saudi (International) dan putera itu.”

Beliau berkata Najib bertemu putera Saudi itu untuk membincangkan usaha sama dan pelaburan.

“Sebelum itu Najib menghadap Raja Abdullah juga untuk membincangkan usaha sama dan pelaburan. Beliau memberitahu Najib supaya mengadakan usaha sama dengan syarikat puteranya itu, Petro Saudi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here