England Bangkit Ketinggalan

Rembatan babak kedua Marcus Rashford memberikan England kemenangan 2-1 ke atas Slovakia yang meletakkan mereka semakin hampir untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan.

England bagaimanapun terpaksa bangkit daripada ketinggalan satu gol selepas penyerang muda Manchester United itu menjadi punca kepada gol pertama Slovakia yang dijaringkan oleh Stanislav Lobotka.

Jaringan antarabangsa Rashford muncul pada penampilan pertamanya ketika aksi persahabatan menentang Australia Mei lalu, tetapi gol keduanya ini amat bermakna kerana ia meletakkan England lima mata di depan Slovakia dalam Kumpulan F, dengan dua perlawanan berbaki.

Sepakan sudut pemain 19 tahun itu disempurnakan oleh Eric Dier untuk gol penyamaan skuad kendalian Gareth Southgate itu di akhir babak pertama dan Rashford menebus kesilapannya dengan gol kemenangan minit ke-59.

Sekali lagi England gagal menampilkan aksi meyakinkan tetapi kemenangan ke atas Slovenia di Wembley bulan depan akan menjamin tiket ke Russia.

Jerman Belasah Norway

Manakala juara dunia Jerman membelasah Norway 6-0 dalam aksi Kumpulan C, meledak empat kali di babak pertama termasuk dua jaringan Timo Werner.

Kemenangan itu meletakkan mereka semakin hampir dengan pusingan akhir di Russia tahun depan bagi memulakan kempen mempertahan kejuaraan.

Skuad kendalian Joachim Loew itu memastikan kemenangan milik mereka dengan meledak tiga gol dalam tempoh 21 minit pertama, dan boleh mengesahkan tiket kelayakan pada pertemuan dengan Ireland Utara pada 5 Oktober.

Jerman, juara dunia empat kali, yang turut mencatat jaringan menerusi Mesut Ozil, Julian Draxler, Leon Goretzka dan Mario Gomez, hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan terakhir mereka – di Belfast dan tiga hari kemudian di laman sendiri melayan kunjungan Azerbaijan.

Ireland Utara di tangga kedua, lima mata di belakang Jerman yang mengumpul maksimum 24 mata. – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here