Skuad bola jaring negara semalam menambah satu lagi kutipan pingat emas negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila menewaskan juara bertahan Singapura dalam perlawanan penuh debar di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini.

Percaturan jurulatih daripada Australia, Tracey Robinson mendorong skuad negara menguasai gelanggang seawal permainan dengan mempamerkan hantaran-hantaran kemas untuk mengungguli permainan dengan 65-41, sekali gus merealisasikan hasrat merampas kembali pingat emas setelah tewas kepada republik itu pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Turut sama berkongsi kegembiraan dengan skuad bola jaring negara ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang hadir menyaksikan perlawanan itu dan perdana menteri kemudian mengalungkan pingat kemenangan kepada skuad negara.

Turut hadir memberi sokongan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar.

Kelmarin, skuad negara menewaskan Brunei 70-28 manakala Singapura pula mengalahkan Thailand 55-43 pada perlawanan separuh akhir. Perdana menteri yang ditemui pemberita sejurus mengalungkan pingat kemenangan kepada pasukan Malaysia, memuji semangat berpasukan serta kesungguhan skuad itu untuk menewaskan juara bertahan.

“Hebat! Hebat! Persembahan penuh bersemangat daripada mereka (pasukan Malaysia).

“Mereka bergerak sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjadi juara,\” katanya.

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada pasukan itu menerusi akaun twitternya.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2001.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here