Menteri Hal Ehwal Luar Negara India, VK Singh berkata permohonan ekstradisi akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia selepas mahkamah meluluskan permohonan Agensi Siasatan Kebangsaan.

Jeneral (B) VK Singh berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada dewan perwakilan tertinggi India, Rajya Sabha, lapor United News of India.

Awal bulan ini, Interpol menolak permohonan notis merah terhadap Naik kerana belum ada pendakwaan dibuat terhadapnya.

Interpol berkata pendakwaan merupakan syarat asas memohon ekstradisi, menurut peraturan India.

Notis merah digunakan untuk memaklumkan semua negara anggota Interpol bahawa seseorang berada dalam senarai dikehendaki, berdasarkan waran tangkap atau keputusan mahkamah sesebuah negara atau tribunal antarabangsa.

VK Singh berkata Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) sudah menyerahkan permohonan proses ekstradisi kepada mahkamah khas di Mumbai.

Permohonan itu apabila diluluskan akan diserah kepada kementeriannya untuk diserahkan kepada Putrajaya di bawah undang-undang ekstradisi India-Malaysia, katanya.

Pada 17 Disember lepas, Press Trust of India (PTI) melaporkan NIA akan memfailkan permohonan baharu kepada Interpol selepas kertas pendakwaan difailkan di mahkamah khas.

Pada 18 April lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Naik diberi status pemastautin tetap di Malaysia lebih 5 tahun lalu.

Pada 31 Oktober lepas, kementerian berkata pihak berkuasa tiada sebab untuk menangkap beliau atas dakwaan terorisme kerana beliau tidak melanggar undang-undang Malaysia.

“Kerajaan belum terima permintaan rasmi daripada kerajaan India berhubung dakwaan beliau terlibat dalam aktiviti terorisme,” katanya.

Naik melarikan diri dari India pada 2016, selepas suspek serangan pengganas di Bangladesh berkata terpengaruh dengan ucapannya. Bangladesh kemudian mengharamkan saluran Peace TV miliknya.

Times of India pada 21 Oktober lalu melaporkan siasatan NIA mendapati Naik meradikalkan dan mempengaruhi belia Islam ke arah aktiviti jihad melalui ucapannya.

Belia berkenaan kemudian menyertai pertubuhan pelampau dan merancang serangan pengganas di India, kata NIA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here