Washington – ASEAN mencatatkan lebih US$1.2 trilion dalam jumlah eksport dagangan dan antara rantau ekonomi paling terbuka di dunia.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Malaysia-Amerika Syarikat (US) (MYUSCHAM) Roy Michael berkata jumlah berkenaan kira-kira 54 peratus daripada jumlah keluaran dalam negara kasar ASEAN dan tujuh peratus eksport global.

“Kemajuan yang ketara telah dibuat untuk mengintegrasikan ekonomi 10 negara anggota ASEAN. Rantau ini meletakkan usaha yang luar biasa untuk mencapai integrasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini seperti yang digariskan dalam pelan tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC),” katanya kepada Bernama selepas forum ‘ASEAN-US Trade Winds’ di Kedutaan Malaysia di sini pada Rabu.

Forum separuh hari itu merupakan acara suku tahunan yang dianjurkan secara bergilir-gilir antara kedutaan negara anggota ASEAN di sini untuk meningkatkan pemahaman antara perusahaan kecil dan sederhana ASEAN dan Amerika, katanya.

Michael berkata perbincangan panel termasuk maklumat terkini mengenai kemajuan AEC, cabaran dalam mencapai integrasi ekonomi ASEAN, dan pertikaian Laut China Selatan.

“Antara penceramah jemputan ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Husin dan wakil-wakil daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

“Turut serta wakil-wakil dari Kedutaan Myanmar dan Filipina, Jabatan Perdagangan AS, Agensi Pembangunan Antarabangsa AS, Pusat Analisis Naval dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN,” katanya.

ASEAN boleh menjadi antara ekonomi dan pasaran terbesar di dunia, dengan lebih 600 juta penduduk, katanya.

“Gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau ini adalah RM2.4 trilion pada 2013, yang menjadikan ASEAN pasaran ketujuh terbesar di dunia, jika Komuniti Ekonomi ASEAN direalisasikan.

“Sekiranya trend ini berterusan, ASEAN mempunyai potensi untuk menjadi pasaran keempat terbesar di dunia menjelang 2050,” katanya.

Beliau berkata MYUSCHAM akan menjadi tuan rumah persidangan kewangan Islam pada 22 Okt, bertemakan ‘Pasaran Modal Islam: Kemasukan ke US’, dengan slogan nama ‘An Alternative Engine for Growth’ (Enjin Pertumbuhan Alternatif untuk Pertumbuhan) di Washington DC.

“Persidangan itu akan terajui penggiat pasaran modal dari Malaysia dan Amerika yang diketuai Datuk Noripah Kamso, Pengerusi Majlis Industri Kewangan Islam MYUSCHAM.

“Noripah kini merupakan Pengamal Global Residen di Pusat Kewarganegaraan Global Principal Financial Group, AS. Beliau ditempatkan di Drake University, Des Moines, Iowa,” katanya.

Beliau berkata persidangan itu menjadi pusat pertemuan terbaik untuk warga Malaysia dan Amerika untuk memanfaatkan peluang dalam menarik jalinan kerjasama antara penggiat pasaran modal.

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1161542

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here