Perhimpunan Agung Umno PAU 2017 yang akan berlangsung selama 5 hari mulai Selasa akan menyaksikan kepimpinan parti mengetepikan retorik kaum bagi menonjolkan pendirian tentang ekonomi yang semakin baik dan mempromosikan kestabilan negara.

Laporan South China Morning Post (SCMP) semalam memetik penganalisis politik meramalkan tiada perebutan jawatan yang besar memandangkan pilihan raya umum ke-14 menjelang Ogos tahun depan, di mana ekonomi akan menjadi fokus utama.

Laporan memetik Awang Azman Awang Pawi, seorang profesor politik di Universiti Malaya (UM), sebagai berkata akar umbi Umno mungkin akan timbulkan kebimbangan mengenai kenaikan harga makanan dan minyak.

“Pilihan raya umum lebih penting daripada jawatan parti,” katanya.

“Tiada guna menang pemilihan parti kalau Umno tewas pilihan raya umum atau tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan.

“Jika kerusi Umno di Parlimen berkurangan pada pilihan raya akan datang, Umno akan desak Najib letak jawatan seperti mana nasib Tun Abdullah Badawi,” tambahnya.

Awang merujuk kepada bekas perdana menteri yang diasak supaya meletakkan jawatan pada April 2009 selepas Barisan Nasional (BN) mengalami prestasi pilihan raya terburuk pada Mac 2008, apabila kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen dan tewas kepada pembangkang di 5 negeri.

Pada pilihan raya umum Mei 2013, BN yang dipimpin perdana menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak, menang 133 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, termasuk 88 yang dimenangi Umno.

BN juga menang di Perak dan Kedah, yang ditawan pembangkang pada pilihan raya sebelumnya.

SCMP memetik felo bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam di Singapura, Saleena Begum Saleem, sebagai berkata kepimpinan parti sekarang akan menekankan masa depan yang lebih baik.

“Pemimpin Umno akan menekankan kerajaan berjaya mengemudi negara mengharungi masa yang sukar dan masa depan yang lebih,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Rahman Hussin berkata ada kerisauan dalam kalangan akar umbi mengenai keadaan ekonomi dan kesan pada rakyat kebanyakan.

Ini bermakna kepimpinan parti tidak akan dibiarkan pada sidang itu nanti.

“Kami semua bersemangat untuk menyertai pilihan raya umum. Ini masanya untuk beritahu perwakilan dan pengundi supaya percayakan kami dan benarkan kami memerintah,” katanya menurut laporan itu.

“Walaupun ekonomi menunjukkan prestasi yang kuat, akar umbi masih berasa bimbang, contohnya, sama ada orang kebanyakan merasai manfaatnya,” tambahnya.

Pada 7 November lalu, Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK berkembang pada kadar selaju 6.2% pada suku ketiga 2017 berbanding 4.3% tempoh yang sama tahun lepas.

Malaysia turut menyaksikan kadar pertumbuhan 5.8% pada suku kedua tahun ini dan 5.6% pada suku pertama.

BNM berkata ekonomi ke arah mencatatkan kadar pertumbuhan menghampiri julat teratas unjuran rasmi 5.2-5.7% sepanjang 2017.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here