Tahun 2017  melabuhkan tirainya dan negara kita telah menyaksikan turun naiknya pelbagai isu sepanjang tahun lalu. Isu paling utama yang sering diutarakan ialah kos sara hidup dan ekonomi negara. Disebalik keluhan rakyat yang mengatakan ekonomi memburuk, pihak kerajaan pula menyatakan sebaliknya dengan mengemukakan statistik yang dikeluarkan oleh pelbagai badan-badan antarabangsa.

Sama ada ekonomi kita berkembang atau ke lubang, ini bergantung kepada cara kita melihat ekonomi dan menjalani hidup kita sehari-hari. Saya bukanlah profesor ekonomi mahupun statistik, tapi ini adalah pengamatan saya sebagai seorang individu berwarganegara Malaysia.

Semakin ke penghujung 2017, semakin banyak saya melihat kawan-kawan saya mengepos aktiviti mereka di media sosial – di Facebook, Instagram dan sebagainya. Ada yang pergi melancong, ada yang pergi membeli-belah dan tak kurang juga yang berbelanja makan di pelbagai restoran termasuk restoran mewah. Banyak juga yang melancong bukan sahaja di destinasi dalam Malaysia, tetapi di Australia, di Amerika Syarikat bahkan Eropah.

Disebalik rungutan rakyat, saya lihat masih ramai pengguna yang keluar dan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Subang Skypark, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), KL Sentral, kenderaan bertali-arus menelusuri lebuhraya-lebuhraya utama negara dan orang ramai menyerbu pusat beli belah di serata negara.

Yang ironinya, kaum minoriti terbesar negara, yang adakalanya mengadu ditindas dan tidak dilayan dengan baik di Malaysia inilah yang paling banyak membanjiri KLIA setiap kali waktu bercuti tidak kira hujung tahun, Tahun Baru Cina mahupun Hari Raya. Ini bukan pengataan omong kosong. Penulis Sin Chew Daily, Tay Tian Yan dalam artikelnya ‘Boom or Bust’ terbitan The Malay Mail Online sendiri yang mengatakan kaum Cina Malaysia antara yang paling banyak melancong ke merata destinasi.

130523113421-best-beaches-21-juara-horizontal-large-gallery

Ini beerti rakyat ada wang dan kemampuan untuk berbuat sedemikian. Makin ramai rakyat berkemampuan untuk mengembara dan melancong, makin banyak juga yang mengomel dan mengeluh tentang kenaikan harga barang yang berlaku bukan sahaja di Malaysia tapi merata dunia? Terbaru di media sosial, ada beberapa ibubapa yang merungut tentang kos yang mereka harus keluarkan untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Sebagai seorang ahli akademik di universiti, saya dapat menjangkakan kelamnya pendidikan negara sekiranya makin ramai ibubapa merungut untuk mengeluarkan perbelanjaan pendidikan untuk anak-anak mereka sendiri.

Apabila harga petrol naik, banyak individu-individu di media sosial yang menghamburkan kata-kata sumpahan. Perbandingan dengan negara-negara jiran akan dilakukan seperti Singapura dan Thailand. Singapura dikatakan mempunyai infrastruktur jalan yang lebih bagus tapi sedarkah kita tidak semua rakyat Singapura mampu berkenderaan? Todayonline melaporkan daripada 5 juta rakyat Singapura, hanya terdapat 575, 000 kenderaan berdaftar di republik itu pada tahun 2016. Manakala Nielsen Global Survey of Automotive Demand melaporkan rakyat Malaysia mempunyai pemilikan kenderaan ketiga tertinggi di dunia pada tahun 2014 setinggi 93%.

petrol

Thailand juga dikatakan sedemikian tetapi sedarkah mereka bahawa harga petrol di Thailand mahal berbanding kita?

Walaupun banyak pihak membayangkan ekonomi negara akan ke lubang, banyak yang tidak menyedari bahawa ianya sedang berkembang sebanyak 5.8 peratus seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg pada Ogos 2017. Ada juga pihak yang menyatakan negara akan bangkrap, tetapi negara kita tidak sedikitpun hampir sama dengan yang dialami Greece, Venezuela mahupun Zimbabwe.

Negara bankrap beerti majoriti rakyat akan hilang pekerjaan, kedai-kedai banyak ditutup, lapangan terbang menjadi sunyi, stesen-stesen bas dan keretapi terbiar usang, rakyat tidak cukup makan dan lebuhraya menjadi sepi. Tapi apa yang kita dapat lihat sekarang adalah kebanyakan rakyat masih mempunyai pekerjaan, berkunjung ke mall (walaupun tak semuanya membeli-belah), lebuhraya bertol sesak dengan kenderaan, tiket kapal terbang, bas dan keretapi ke pelbagai destinasi banyak ditempah dan senarai ini boleh berpanjangan.

Memang betul masih terdapat rakyat yang miskin di negara ini dan masalah dalam pengurusan ekonomi secara saksama memang wujud. Disebalik wujudnya rakyat-rakyat yang miskin, banyak juga yang berjaya, berpendapatan tinggi dan bermewah sehingga boleh berbelanja sakan hanya untuk membikin klip video lagunya dan membeli selipar mahal untuk dipakai ke pasar. Ada juga rakyat yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk membeli tudung, busana Muslimah dan untuk menunggu pembukaan IKEA cawangan Johor baru-baru ini.

81492011884_OrangRamai

Sewaktu penjajahan British, pihak British telah menghakis dan menghilangkan daya intelek orang Melayu dengan menafikan hak pendidikan tinggi kepada orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu hanya layak untuk menjadi nelayan dan petani sahaja. Setelah kemerdekaan, Malaysia banyak menggunakan sumber negaranya membina sumber daya manusia terutamanya daripada kaum Bumiputra yang ketinggalan dan tertindas beratus tahun lamanya. Ini dilakukan tanpa menafikan hak kaum lain untuk menerima pendidikan.

50 tahun lalu, adalah suatu keajaiban untuk menemui seorang pensyarah Melayu/Bumiputera yang berkelulusan PhD tetapi sekarang ini sudah menjadi agak kebiasaan. Dahulu, bilangan jurutera Melayu/Bumiputera boleh dihitung dengan jari, tetapi sekarang mereka terdapat di mana-mana, bahkan yang membina MRT Malaysia adalah rata-ratanya jurutera Melayu/Bumiputera kebanyakannya. Ini mampu dilakukan oleh kerajaan dengan sokongan rakyat dalam hanya satu generasi sahaja.

Jadi benarkah ekonomi kita betul-betul ke lubang? Tidak ada langsungkah perkembangan terhadap kemajuan negara kita sejak merdeka pada tahun 1957 yang lalu?

Persoalannya bukanlah ekonomi kita bagus atau tidak, tapi harus dilihat dari sudut bagaimana persepsi kita terhadap ekonomi. Memang betul terdapat tuduhan ketirisan di sana sini tetapi ini tidak patut disambut dengan tohmahan dan kutukan semata-mata. Kenapa perlu kita terus menerus memburukkan negara bahawa Malaysia akan bankrap atau menjadi negara gagal? Bukankah kata-kata itu suatu doa?

Ekonomi haruslah dipandang dan ditafsir secara profesional tanpa dibelenggu perasaan dan nafsu seseorang. Adalah lebih baik kita refleksi diri, berbelanja mengikut kemampuan dan berhenti memburukkan negara sendiri. Sekiranya tidak suka pada sesuatu parti politik atau seseorang pemimpin, buanglah undi di tempat yang sepatutnya tidak lama lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here