Ekonomi Malaysia akan terus bertumbuh dengan baik pada tahun 2018 meneruskan kelangsungan yang berlaku pada tahun ini.

Pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari berpendapat, prestasi ekonomi Malaysia pada sukuan ketiga 2017 menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan berbanding 2016 dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus.

“Pertumbuhan ini adalah yang tertinggi untuk tahun 2017 berbanding sukuan pertama dan kedua iaitu 5.6 peratus  dan 5.8 peratus.

“Tetapi, pertumbuhan KDNK tidak bererti bebanan kos sara hidup akan berkurang dengan beberapa sebab utama,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, dengan dua komponen daripada KDNK iaitu gaji dan upah pekerja, dan keuntungan syarikat, ia dilihat tidak seimbang.

“Daripada keseluruhan KDNK, gaji dan upah hanya meliputi 35 peratus manakala 65 peratus lagi adalah keuntungan syarikat.

“Jadi, wujud kecenderungan tinggi pertumbuhan KDNK hanya meningkatkan keuntungan syarikat. Ini disokong oleh penemuan di dalam tinjauan pendapatan isi rumah terbaharu yang menunjukkan peratus sumbangan pendapatan bergaji berkurangan daripada 65 peratus tahun 2014 kepada 63 peratus  tahun 2016,” ujarnya.

Sebab kedua katanya, KDNK juga tidak menjanjikan penurunan harga barangan di pasaran.

“Rakyat membelanjakan hampir 70 peratus daripada pendapatan ke atas makanan, utiliti (perumahan dan bahan api) dan pengangkutan.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur pergerakan harga barangan di pasaran menunjukkan di antara Januari sehingga September 2017, harga ketiga-tiga barangan ini meningkat lebih tinggi berbanding dengan tahun 2016,” ujarnya lagi.

Mohd Yusof berkata, negara meletakkan sasaran tingkat pendapatan per kapita sebanyak AS$15,000 yang ingin dicapai pada tahun 2020.

“Berdasarkan prestasi semasa, sasaran ini mampu dicapai. Tetapi sejauh manakah sasaran tersebut memastikan peningkatan taraf hidup rakyat.

“Pencapaian taraf negara maju tidak memberi apa-apa makna jika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here