ECRL

Sistem pengangkutan awam yang cekap dan berkualiti merupakan tanda penting sebuah negara maju. Sistem seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepad rakyat setempat, tetapi sebenarnya mampu menjadi daya tarikan pelaburan dan pelancongan ke dalam negara. Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri terus memandang kepentingan pembangunan sistem pengangkutan awam sebagai antara yang paling penting dan harus diberikan keutamaan.

Semalam telah berlangsung majlis pecah tanah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai kira-kira RM55 bilion. Projek ini bukan sekadar meningkatkan kapasiti rangkaian pengangkutan awam di Malaysia, tetapi sebaliknya turut memberi penekanan kepada aspek pengangkutan awam bertaraf dunia. Selepas MRT, ternyata Kerajaan tidak mahu bertangguh lagi dalam memberikan manfaat terpenting buat rakyat khasnya bagi penduduk di kawasan Pantai Timur.

Projek yang dijalankan secara usaha sama dengan konglomerat dari China yang terkemuka, China Communications Construction Groups Ltd, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024. Usaha sama ini juga menjadi petanda positif keyakinan gergasi ekonomi nombor satu dunia terhadap keupayaan pentadbiran dan pengurusan kewangan negara.

Secara keseluruhannya ECRL yang menggunakan slogan ‘Menyatu Kehidupan, Memacu Pertumbuhan’ itu bakal menghubungkan kawasan Lembah Kelang dengan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan lantas menjadi salah satu projek terpenting dalam usaha Kerajaan merapatkan jurang ekonomi kawasan bandar dan luar bandar di samping meningkatkan keupayaan sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

Walaupun projek ini dijalankan secara usaha sama dengan negara China, namun kepentingan rakyat dan keutamaan terhadap kontraktor tempatan tetap diberikan apabila sekurang-kurangnya 30 peratus kontraktor Malaysia terlibat dalam projek ini nanti. Di samping itu, projek ECRL juga dijangka menjana peluang pekerjaan dan memberikan ruang penglibatan kepada golongan muda melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL).

Keselesaan rakyat merupakan matlamat utama projek ini apabila perjalanan ke Kota Bahru, Kelantan dari terminal pengangkutan bersepadu (ITT) yang bakal dibina di Gombak, Selangor hanya mengambil masa kurang empat jam. Selain itu, pembangunan lebih baik termasuk menjadikan kawasan-kawasan berhampiran sebagai pusat perindustrian juga akan memberikan nilai tambah kepada projek ini nanti.

Projek berimpak tinggi ini sudah lama dinantikan rakyat dan ini merupakan petanda penting kepada kemakmuran ekonomi negara di samping meletakkan Malaysia di landasan tepat menjadi negara ekonomi utama dunia menjelang tahun 2050. Secara keseluruhannya, ECRL ini bakal memberi manfaat kepada 5.4 juta penumpang dan 53 juta tan kargo setiap tahun menjelang 2030.

YAB Perdana Menteri sememangnya memandang serius terhadap kepentingan pengangkutan awam dan selepas tumpuan banyak diberikan ke kawasan bandar, kini tiba masanya pendudukan di kawasan luar bandar turut merasai peluang untuk menggunakan sistem pengangkutan awam yang berkualiti. Apa yang penting usaha pengukuhan sistem pengangkutan awam ini harus diteruskan sehingga Malaysia mampu menjadi sama taraf dengan negara-negara maju dalam memberikan keselesaan dan kesejahteraan hidup kepada rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here