ECRL

Pakatan Harapan (PH) hampir setiap hari ini menyerang projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan menggunakan hujah projek ini sebagai satu pembaziran dan bakal menghumbankan Malaysia ke kancah hutang yang tinggi. Kos projek ini juga dikatakan tidak munasabah dan mempunyai elemen korupsi di dalamnya. Namun sehingga kini cakap-cakap pembangkang itu tidak berlandaskan fakta dan tidak melihat realiti keperluan rakyat terhadap infrastruktur pengangkutan awam seperti itu.

Malah dalam satu forum yang diadakan di Kuala Lumpur semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir dengan tegas menyebutkan gabungan politik itu akan menyemak semula projek berkenaan dan menyifatkan terdapat kemungkinan yang tinggi jika PH berjaya membentuk kerajaan, mereka akan membatalkan projek berkenaan. Kita tidak tahu apa yang ada dalam pemikiran pemimpin PH sehingga mahu meminggirkan keperluan rakyat demi tuntutan politik sendiri.

Malah jika dilihat dalam kaca mata lebih realistik, jika pembatalan berkenaan dilaksanakan maka negara perlu membayar ganti rugi dengan jumlah yang tinggi dan ini sebenarnya lebih merugikan berbanding mengeluarkan kos untuk mendapatkan infrastruktur berkelas dunia yang dapat digunakan secara harian oleh rakyat. Projek ECRL ini merupakan projek berimpak tinggi dengan kesan langsungnya dinikmati secara positif oleh rakyat kebanyakan.

Lebih menyedihkan ahli akademik terkemuka, Jomo Kwame Sundram yang sebelum ini banyak mengkritik dasar-dasar penswastaan Tun M, kini bersetuju dengan bekas perdana menteri itu apabila mengandaikan projek ECRL sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana tidak wujud keperluan untuk membawa penumpang pada kelajuan tinggi dari Pantai Timur ke Lembah Kelang memandangkan tiada penduduk dari kawasan berkenaan yang bekerja di Kuala Lumpur secara berulang-alik.

Ini satu logik sukar ditafsir akal sebenarnya. Mungkin Jomo sendiri tidak dapat melihat secara menyeluruh tentang infrastrutktur pengangkutan di Pantai Timur. Lebuh raya juga tidak mencukupi, laluan kereta api juga tidak menyeluruh dan lapangan terbang juga tidak sampai ke semua destinasi. Maka ECRL bakal memberikan kemudahan lebih selesa kepada rakyat untuk menikmati perjalanan jauh dalam masa singkat. Ini tujuan projek ini dijalankan selain daripada menambah pilihan perjalanan kepada rakyat.

Sebagai seorang warganegara Malaysia yang biasa hidup senang dalam kelompok elit dan tidak memahami beban kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi rakyat yang mahu ke Pantai Timur ketika musim puncak, mungkin Tun M dan Jomo gagal untuk memahami secara keseluruhannya mengapa ECRL perlu dilaksanakan dan mengapa rakyat memerlukan perjalanan pantas menggunakan perkhidmatan kereta api.

Agak menyedihkan apabila Tun M mengumumkan akan memulakan satu projek industri automotif baru sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang. Tidakkah ini satu langkah ke belakang? Di saat dunia melalui fasa pengukuhan pengangkutan awam, kita di Malaysia melalui idea Tun M mahu menambahkan lagi bilangan kereta dan sudah tentu akan berterusan menyesakkan jalan raya. Idea ini boleh disifatkan lebih tidak masuk akal kerana dunia hari ini mementingkan pembangunan mapan dan pengangkutan awam yang lengkap merupakan jalan terbaik untuk memantapkan pengurusan sesebuah negara dari pelbagai sudut.

Menambah bilangan landasan di samping meningkatkan kecekapan pengangkutan awam seperti kereta api meninggalkan kesan minimum terhadap alam sekitar, berbanding menambahkan kereta di jalan raya yang sudah tentu mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar dalam tempoh panjang.

Rakyat kini perlu menilai dengan teliti bagaimana golongan elit ini gagal memahami tuntutan dan kehendak marhaen secara menyeluruh. Bagaimana keputusan dan perbincangan yang dibuat hanya dilihat dari kaca mata atas tanpa mengetahui kedudukan dan keperluan rakyat.

Projek ECRL jelas akan memberikan manfaat besar kepada negara dan penduduk di Pantai Timur di samping mampu menjana pendapatan tambahan penduduk di stesen-stesen terlibat. Secara tidak langsung pembangunan akan bergerak rancak dan rakyat bakal menikmati faedahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here