Hudud

Agenda melaksanakan hukuman Hudud sentiasa menjadi keutamaan Parti Islam SeMalaysia (PAS) walau dalam apa jua keadaan. Ketika di dalam Pakatan Rakyat, PAS terpaksa memendam cita-cita ini demi memenuhi tuntutan kerjasama politik bagi menundukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Namun selepas meninggalkan gabungan politik utama pembangkang itu, PAS yang kini selesa bersendirian dilihat meneruskan agenda sistem perundangan berasaskan agama Islam berkenaan.

PAS yang kini dilihat tidak terikat telah mengorak langkah dalam isu Hudud dan Parti ini berpandangan Malaysia sewajarnya bersedia mengguna pakai sistem perundangan Islam untuk menggantikan sistem sekarang walaupun terdapat beberapa kekangan dari sudut Perlembagaan Persekutuan dan sudah tentu dalam bentuk masyarakat berbilang kaum, cita-cita PAS ini agak sukar untuk dicapai.

Hasrat PAS dengan Hudud dan sistem perundangan berasaskan Islam ini sebenarnya boleh dilihat sebagai satu halangan kepada Parti berkenaan untuk mendapat sokongan kelompok bukan Islam. Namun, PAS menerusi beberapa kenyataan rasmi melihat isu Hudud dan sistem perundangan Islam bukan dari sudut politik, tetapi lebih kepada aspek tuntutan Islam itu sendiri.

Di pihak pembangkang, Hudud sentiasa menjadi duri dalam daging yang dilihat menjejaskan keharmonian hubungan parti-parti berkenaan. PAS misalnya sering bertelagah dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam isu ini dan DAP termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) beranggapan Hudud ialah kesempatan yang digunakan BN untuk memecahkan kerjasama politik pembangkang.

Keadaan menjadi semakin hangat apabila Dewan Rakyat pada April lalu membenarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355. Kebenaran untuk Hadi ini dilihat sebagai satu permulaan kepada hubungan harmoni antara PAS dan UMNO dan walaupun apa yang diusulkan Hadi itu masih belum dibahaskan hingga kini namun sokongan diberikan Kerajaan terhadap Hadi untuk membentangkan usul berkenaan memberikan satu nilai politik tinggi.

Hari ini PAS meneruskan usaha membina jalan merintis tekad untuk melaksanakan hudud apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017). Di antara perkara menarik yang berlaku ialah mengenai pengenalan hukuman sebat yang dijalankan di khalayak ramai di samping memberi kuasa kepada penguatkuasa agama untuk menggunakan gari dan membenarkan video menjadi bahan bukti dalam perbicaraan.

Pindaan yang dibuat ini sebenarnya adalah selaras dengan usaha PAS di peringkat Pusat untuk memperkasa sistem perundangan Syariah di Malaysia melalui usul RUU 355 yang dikemukakan Hadi pada April lalu. Perkara ini diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semasa diminta mengulas sebaik sahaja DUN Kelantan meluluskan pindaan berkenaan.

Berdasarkan kepada situasi ini, PAS jelas memberikan isyarat bahawa mereka benar-benar serius dalam melaksanakan Agenda Hudud dan pindaan-pindaan yang dibuat ini sebenarnya merupakan persediaan awal kepada langkah susulan yang bakal diambil oleh Parti berkenaan. Namun satu perkara utama yang menjadi persoalan ialah sama ada PAS memiliki keupayaan dari sudut politik dan perundangan untuk menguatkuasa undang-undang seperti ini kerana sehingga kini tiada sebarang sokongan terbuka diterima PAS daripada parti-parti yang bermajoriti Islam lain. Jika keadaan ini berlarutan sudah tentu sukar untuk PAS meneruskan Agenda yang diimpikannya.

Buat masa ini PAS cuba menjadikan Kelantan sebagai satu case study untuk melihat sejauh mana pelaksanaan sistem perundangan syariah dapat berkuatkuasa dengan baik dan undang-undang berkaitan hal apa dalam ruang lingkup Syariah yang akan melalui proses penghukuman seperti yang disebutkan. Untuk ini, PAS perlu melaksanakan sesi libat urus yang lebih komprehensif bagi memastikan setiap langkah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan dapat difahami dengan jelas.

Ini ialah kesempatan terbaik PAS untuk membuktikan usul RUU 355 yang dibentangkan Hadi memiliki kekuatan tersendiri dan mampu memberikan kesan positif terhadap keperluan undang-undang kepada masyarakat secara keseluruhannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here