lemas

Dua pelajar sekolah menengah ditemukan lemas dalam kejadian berasingan di daerah Kemaman dan Dungun, semalam.

Dalam kejadian pertama di Kemaman, seorang remaja lelaki ditemukan lemas di dalam kolam terbiar di Kampung Batu 3 di sini, pagi semalam.

Ketua Zon II Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Azmi Abdul Rahim berkata, mayat Muhammad Solahuddin Anuar, 14, dijumpai kira-kira jam 10.49 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar kolam berkenaan.

“Mayat mangsa ditemukan pada kedalaman dua meter dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, mangsa difahamkan bersama tiga lagi rakan pergi ke kolam itu untuk mandi-manda.

Dalam kes berasingan, kegembiraan kira-kira 30 remaja berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika mandi di air terjun Chemerung, Dungun.

Mayat Muhammad Fakhrul Ieqbal Mat Yi, 16, dijumpai kira-kira jam 5 petang oleh penduduk kampung.

Menurut rakan mangsa, Muhammad Izzat Mohd Asri, 17, mereka berkonvoi menaiki motosikal untuk ke air terjun itu kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, ketika mandi bersama beberapa rakan yang lain, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan  Ketengah Jaya itu terjun dan selepas itu tidak timbul.

“Selepas tiga minit terjun dia tidak timbul-timbul saya ingatkan dia bergurau kemudian kami semua mencarinya dan selepas setengah jam kami menemuinya di dasar,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here