ISU Anwar Ibrahim keutamaan perjuangan Pakatan Harapan (PH) kerana penubuhan gabungan pembangkang sendiri bertitik tolak daripada ketidakadilan ke atas bekas timbalan perdana menteri itu, kata Yusmadi Yusoff.

Bekas ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR itu berkata pembentukan PH hasil perjuangan rakyat yang bangkit menuntut reformasi, yang gerakannya diketuai oleh Anwar.

Katanya, perjuangan menggantikan Barisan Nasional (BN) dan menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ini tidak boleh dipisahkan daripada isu Anwar.

Yusmadi membidas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Hussin yang berkata pembebasan dan masa depan Anwar tidak wajar menguasai agenda PH.

“Saya ingin ingatkan kepada Rais bahawa naga datang dalam banyak bentuk dan pahlawan yang bangkit melawannya muncul dengan pelbagai wajah.

“Ada beza antara perubahan pimpinan semata-mata dengan perjuangan menuntut keadilan dan perubahan demokratik,” kata Yusmadi dalam satu kenyataan malam ini.

Yusmadi turut mengingatkan Rais jangan jadi macam “Belanda dapat tanah yang bukan saja lupa budi orang memberi ruang tanah tersebut malah menjajah pemilik asal tanah tersebut”.

Beliau mengulas kenyataan Rais kepada Malay Mail mempersoalkan tiga syarat yang diletakkan oleh PKR untuk menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara jika PH menang PRU14.

“Ini gabungan PH, semua kena bincang dan membuat keputusan, bukan hanya PKR menentukan semua syarat bagaimana pakatan ini digerakkan.

“Kami tidak mahu PH dilihat sebagai pakatan untuk Anwar,” kata Rais, seperti dipetik oleh Malay Mail.

The Malaysian Insight semalam melaporkan PKR sudah setuju Dr Mahathir jadi perdana menteri sementara jika PH menang pilihan raya, tetapi dengan tiga syarat.

Tiga syarat itu ialah sebaik saja jadi kerajaan di Putrajaya, Dr Mahathir hendaklah mengusahakan Anwar dibebaskan segera dari penjara dan membuka jalan untuk beliau dilantik perdana menteri dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.

Syarat kedua, PKR bertanding kerusi parlimen paling banyak iaitu 60 daripada 165 kerusi di Semenanjung Malaysia, dan syarat ketiga, Dr Mahathir setuju melaksanakan reformasi ke atas institusi negara.

Yusmadi mengingatkan Rais perjuangan PH hari ini tidak boleh dipisahkan daripada Anwar kerana gerakan reformasi itu sendiri dicetuskan ketua umum PKR itu dengan dukungan pemimpin hebat termasuk Fadzil Noor dan Nik Abdul Aziz Nik Mat dari PAS dan Karpal Singh dari DAP serta pemimpin NGO.

Katanya, kebangkitan rakyat disebabkan penolakan mereka terhadap ketidakadilan, salah guna kuasa dan keruntuhan institusi demokrasi seperti institusi kehakiman, polis dan lain-lain.

“Keyakinan rakyat memperjuangkan agenda reformasi disebabkan kepimpinan Anwar dan rakan-rakan seperjuangan yang lain,” kata Yusmadi.

Beliau mengingatkan perjuangan itu juga mendapat konsensus semua pihak yang sama-sama berjuang sejak 1998.

Anwar juga jadi “tokoh penyatu” kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam perjuangan rakyat itu, katanya.

“Menjadi agenda utama pihak lawan seperti Umno/BN untuk tidak menjadikan isu Anwar sebagai isu utama sehingga terdesak memenjarakan beliau,” katanya.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan Umno pada September 1998, selepas didakwa terlibat jenayah salah guna kuasa dan liwat.

Anwar kini menjalani hukuman penjara atas satu tuduhan liwat yang lain sejak 2014.

“Umno/BN sedar Anwar perlu dipisahkan daripada PH untuk melemahkan PH.

“Mungkin Rais gagal memahami isu ini kerana baru bersama-sama menyertai perjuangan rakyat yang mungkin asing kepada beliau,” katanya.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Pengerusi PH Dr Mahathir dicadangkan sebagai perdana menteri sementara, manakala Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Kecuali PKR, cadangan itu dipersetujui oleh parti komponen PH yang lain – Bersatu, DAP dan Amanah.

PKR hari ini dalam satu kenyataan meminta lagi ruang untuk berbincang pada peringkat parti sebelum boleh menamakan calon perdana menteri PH yang dipersetujui parti itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here