Drama RUU 355

Sejak Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) dibenarkan untuk membentangkan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 yang menyentuh pindaan terhadap Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah 1965 (Akta 355) pada sidang Dewan Rakyat April lalu, pelbagai pandangan spekulasi telah muncul dan ada antaranya boleh disifatkan sebagai pandangan berat sebelah dan tidak menggambarkan hal sebenar, tetapi ada juga pandangan yang boleh diterima akal. Ada yang menyifatkan pindaan RUU 355 yang dicadangkan Hadi ini merupakan titik permulaan kepada kerjasama formal antara Kerajaan dan PAS.

Namun setelah lebih 3 bulan berlalu, tiada sebarang khabar didengar berhubung pembentukan kerjasama formal yang digembar-gemburkan. Namun yang ada hanyalah situasi tenang yang melingkari hubungan PAS dan UMNO. Hubungan kedua-dua parti yang berlawanan ideologi ini boleh disifatkan memasuki fasa baru dengan tumpuan diberikan kepada aspek pengukuhan melalui kerjasama dalam skop Melayu dan Islam. Kelihatan juga pukulan-pukulan yang diberikan PAS kepada UMNO lebih kepada ‘pukulan manja’ dan bukanlah asakan keras seperti biasa.

Walaupun Hadi telah membentangkan cadangan pindaan beliau untuk RUU 355, namun terdapat beberapa proses dan peringkat yang perlu dilalui sebelum cadangan pindaan berkenaan dimasukkan ke dalam Akta yang sedang berkuatkuasa. Cabaran terbesar yang perlu dilalui Hadi dan PAS khususnya ialah proses perbahasan dan pengundian setelah selesai perbahasan dan bagaimanakah bentuk sokongan yang akan diterima oleh Hadi nanti.

Sebenarnya cadangan Hadi ini dilihat sebagai satu usaha terpenting PAS untuk membuktikan cita-cita muncul sebagai kuasa ketiga dalam politik Malaysia bukanlah satu angan-angan. Tewas atau tidak dalam undian nanti, Hadi telah dianggap telah menang kerana katakan Hadi gagal dalam cadangan pindaan ini, tetapi masyarakat umum khasnya golongan Melayu Islam akan menilai mana-mana Ahli Parlimen yang menolak cadangan ini sebagai memberikan petanda penentangan atau rasa tidak selesa dengan sistem perundangan syariah.

Jika Hadi berjaya sudah tentu matlamat menjadi kuasa ketiga akan menjadi semakin cerah.

Dalam sesi Dewan Rakyat kali ini, sekali lagi cadangan Hadi menjadi tumpuan dan ramai pemerhati politik tidak sabar mahu menyaksikan drama ini. Sehingga hari ini, cadangan Hadi berkenaan telah dimasukkan sebagai perkara ke-10 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul dan walaupun dilihat secara kasar, cadangan Hadi ini tidak akan dibahaskan untuk kali ini, namun segala-galanya boleh berubah dan mengejutkan seperti yang berlaku pada April lalu.

Kita sama-sama nantikan adakah Hadi sedang dipermain-mainkan UMNO yang sedang tegar memecahkan gabungan pembangkang, atau Hadi kini berada di landasan tepat untuk memacu PAS muncul sebagai parti politik terpenting yang bakal menentukan kuasa pemerintahan berada di tangan siapa dalam pilihan raya umum yang akan datang. Kamera telah bersedia, dan hanya menunggu kata aksi dari pengarahnya dan persoalannya siapa pengarah drama kali ini?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here