Kuala Lumpur: Dollah Saleh tampil membuat kejutan apabila melakukan rombakan besar ke atas sebahagian besar pasukan harimau Malaya. Dollah ingin memastikan Hariamu Malaya tidak lagi dipandang mudah oleh pihak lawan bagi memulakan tiga perlawanan penting bermula menentang Bangladesh bagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, hujung bulan ini.

 

Selain perlawanan persahabatan itu, 22 pemain dipanggil bagi fasa pertama latihan bermula Ahad ini bagi persiapan mengharungi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi pada 3 September sebelum berdepan Arab Saudi di Stadium Shah Alam (8 September).

 

Daripada senarai pemain itu, Dollah selaku jurulatih skuad kebangsaan, hanya mengekalkan 11 pemain daripada skuad ketika seri 1-1 dengan Timor Leste dan kalah 0-6 di tangan Palestin dalam aksi kelayakan Kumpulan A Jun lalu.

 

Yang pasti pengendali itu melakukan kejutan apabila menyisihkan pemain ‘regular’ sebelum ini antaranya Safee, Mohamad Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Farizal Marlias (Johor DT), Muslim Ahmad (PDRM) dan Afiq Azmi (Selangor).

 

Kekosongan itu diisi pemain lama yang kembali mendapat tempat seperti penyerang Norshahrul Idlan Talaha, Baddrol Bakhtiar, Nor Farhan Muhammad serta muka baru, Idris Ahmad, Nurridzuan Abu Hassan serta tak ketinggalan tiga pemain Harimau Muda B, Syahrul Azwari Ibrahim, Nazirul Naim Che Hashim dan S Kumaahran.

 

Bagi Dollah, beliau percaya sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada beberapa pemain baru seperti penyerang Kumaahran untuk mendapat pendedahan awal di peringkat lebih tinggi.

“Saya fikir Kumahraan antara pemain yang memiliki potensi besar, cuma saya melihat dia kurang keyakinan ketika di padang, tapi boleh diatasi.

 

“Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan dia antara pemain masa depan Harimau Malaya. Idris juga antara pelatih posisi pertahanan yang wajar diberikan peluang untuk bersama skuad kebangsaan.

 

“Idris beraksi baik dengan Tiago Junior bersama Perak dan rekod mereka dalam Liga Super boleh dikatakan agak bagus,” katanya semalam.

 

Semua pemain diarahkan melaporkan diri pada Ahad ini kecuali tiga pemain Johor DT pada 26 Ogos, selepas aksi suku akhir pertama Piala AFC 2015 menentang South China di Larkin (25 Ogos). Empat pemain Pahang pula akan menyertai kem kebangsaan pada 29 Ogos selepas perlawanan suku akhir pertama Piala AFC menentang FC Istiklol (26 Ogos).

 

Dalam pada itu, bagi memastikan insiden sama tidak berulang, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi amaran awal kepada kesemua pemain yang disenaraikan supaya hadir tanpa sebarang pengecualian bagi mengelak dikenakan tindakan tegas melainkan mereka mempunyai alasan kukuh.

 

Sebelum ini kontroversi berlaku apabila tiga pemain Selango, Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Azmi serta pemain import Robert Cornthwaite gagal menyertai kem latihan pasukan Pilihan Malaysia kendalian Dollah bagi aksi menentang Liverpool, Julai lalu.

 

-HarianMetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here