dobi muslim

Dobi Muslim, tindakan sebuah kedai dobi layan diri di Muar Johor, menawarkan perkhidmatannya kepada pelanggan beragama Islam sahaja dilihat tidak sesuai oleh Parti Amanah Negara (AMANAH).

Naib presidennya Hasanuddin Mohd Yunus berkata tindakan itu dilihat tidak matang dalam keadaan negara yang berbilang agama dan bangsa.

“Faktor kemarahan akan timbul kemudian, jangan asingkan pakaian, itu perkara yang kecil. Bila kita asingkan ia menimbulkan syak wasangka dan curiga di kalangan bukan Islam.

“Kalau orang Islam rasa (asingkan dobi) terbaik, akhirnya dia (orang Islam itu) rasa tak selesa antara satu sama lain,” kata pemimpin parti Islam itu kepada Malaysiakini.

Hasanuddin berkata demikian selepas membuat lawatan di kediaman mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah di Taman Kosas, Ampang di ibu negara.

Isu dobi itu telah menjadi tular di media sosial. Berdasarkan gambar yang dikongsi, ia memaparkan makluman “untuk pelanggan beragama Islam sahaja dan kasut sila tanggalkan di luar”.

Pengendali dobi itu, 40, memberitahu sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa beliau sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Beliau berkata orang Cina dan orang India yang beragama Islam dialu-alukan ke kedai dobinya, dan orang bukan Islam boleh menggunakan kedai dobi lain.

Pengendali itu bagaimanapun enggan menjelaskan mengapa beliau mengenakan syarat itu kepada pelanggan.

Pengendali itu juga enggan mengulas apabila ditanya apakah kerana beliau bimbang ada unsur “tidak bersih” seperti bulu anjing pada pakaian yang dibawa orang bukan Islam ke kedai dobinya.

Beliau juga tidak mahu gambarnya diambil.

‘Dukacita’

Sementara itu, Hasanuddin berkata beliau kesal dengan perkara itu berkata Islam tidak pernah mengajar untuk membeza-bezakan perkara yang tidak perlu.

“Sebenarnya saya dukacita, kita hidup di dunia, Allah minta berkongsi, tak wajar kita membeza-bezakan perkongsian pada perkara yang tak perlu dibezakan.

“Membuka dobi dengan meletakkan ini adalah untuk orang Islam, dan ini bukan untuk orang Islam, menunjukkan tak matang dalam negara,” katanya.-MK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here