Anih Berhad, syarikat konsensi Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menawarkan potongan 50 peratus kepada semua jenis kenderaan yang melalui lebuh raya berkenaan sempena sambutan Aidifitri yang dijangka Jumaat ini.

Ketua Pengurusan Anih Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata, pemberian diskaun itu bermula pada 12.01 pagi Rabu (13 Jun) hingga 11.59 malam Khamis (14 Jun).

“Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pemberian diskaun tol sempena Aidilfitri baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, katanya lagi, Anih Berhad turut menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan kepada pengguna yang ingin kembali pulang beraya ke pantai timur.

TTA itu juga secara langsung, katanya dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada sesuatu masa yang sama di plaza tol, khususnya Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak sehingga menyebabkan kesesakan.

“Sejak Sabtu lepas, telah berlaku sedikit peningkatan pergerakan kenderaan di KLK dan LPT1 dan dijangka pada waktu puncak pada Rabu dan Khamis ini, bilangan kenderaan akan meningkat antara 850,000 hingga 2.2 juta kenderaan iaitu peningkatan sehingga 70 peratus berbanding hari biasa.

“Sehubungan itu kita menyarankan pengguna KLK dan LPT agar dapat merujuk TTA yang telah kita sediakan untuk memastikan perjalanan ke kampung masing-masing berjalan lancar sekali gus mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan,” katanya.

Katanya pengguna KLK dan LPT yang ingin mengetahui lanjut tentang perkara itu boleh merujuk ke laman sesawang Anih Berhad.

Bagi memantapkan lagi operasi pada musim perayaan ini, katanya lagi, Anih Berhad turut meningkatkan bilangan jurutol sebanyak 16 peratus daripada 233 orang bagi membantu mempercepatkan lagi transaksi pembayaran di semua plaza tol.

Menurutnya pengguna juga disarankan untuk sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

”Untuk makluman, lorong tambah nilai kad Touch ‘n Go di plaza tol KLK dan LPT1 akan beroperasi mengikut keadaan trafik. Sekiranya trafik mulai padat, operasi tambah nilai akan ditutup bagi mengelak kesesakan di plaza tol.

”Pengguna yang sudah memasuki KLK dan LPT1 yang ingin membuat tambah nilai kad Touch ‘n Go boleh mengunjungi mana-mana Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) kami di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak, Plaza Tol Temerloh dan Plaza Tol Kuantan yang beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari,” katanya.

Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here