Malaysia berkongsi ruang maritimnya dengan pelbagai negara jiran yang mengelilinginya iaitu Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina. Akhir-akhir ini, boleh dikatakan dilema perbatasan maritim negara menjadi semakin runcing kerana semakan ke atas kes Batu Puteh yang belum selesai, perbatasan maritim dengan Indonesia yang belum dimuktamadkan di beberapa kawasan maritim serta tuntutan 9 garis putus China yang bertindih dengan kawasan maritim yang dituntut Malaysia.

Atas dasar kesedaran perlunya perkara ini dibincang dan diutarakan, Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan International Law Unit (ILU), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia telah menganjurkan seminar separuh hari pada 26 Mac 2018 berjudul ‘Reasserting Malaysia’s Maritime Boundary: New Developments’ bertujuan memberi kesedaran bahawa sempadan maritim negara kita bermasalah.

Seminar ini disertai oleh para pelajar UiTM dan beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan menerusi Institut Maritim Malaysia (MIMA).

Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan:

  • Good Fences Create Good Neighbours disampaikan oleh Profesor Dato’ Dr. Rahmat Mohamad, Dekan, Fakulti Undang-undang, UiTM.
  • Malaysia’s Large Maritime Space : Godsend or Gauntlet?, di sampaikan oleh Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli, pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM.
  • The Challenges in Designating the Straits of Malacca as Particularly Sensitive Sea Area (PSSA) oleh Cheryl Rita Kaur dari Maritime Institute of Malaysia (MIMA)

Ketiga-tiga kertas kerja ini menceritakan bahawasanya terdapat banyak kawasan maritim di seluruh negara yang sempadannya belum diselesaikan lagi terutamanya dengan Singapura berkaitan Batu Puteh, Indonesia di Selat Melaka dan Selat Singapura serta dengan China di Laut China Selatan.

Masalah persempadanan yang belum selesai ini menyebabkan masalah dari segi hak negara untuk mengeksplotasi perikanan, perlombongan petroleum, penjagaan alam sekitar marin dan yang paling utama – kedaulatan negara mungkin tercabar.

Profesor Dr. Rahmat Mohamad menegaskan bahawa sesuatu perlu dilakukan oleh negara bagi menghadapi tuntutan China di Laut China Selatan. Usaha diplomasi dengan China perlu dipertingkatkan bagi memastikan kepentingan Malaysia di Laut China Selatan tidak tercabar.

Dr. Mohd Hazmi pula menerusi pembentangannya menegaskan bahawa Malaysia perlu belajar dari sejarah silam bahawasanya kedaulatan negara bukan sesuatu yang boleh dijual beli, seperti yang berlaku dalam kes-kes penyerahan Pulau Pinang dan Singapura kepada British sewaktu zaman kesultanan Kedah dan Johor di zaman silam. Adalah penting bagi rakyat Malaysia belajar dari kesilapan lalu agar kedaulatan negara terpelihara.

Cik Cheryl Rita Kaur pula menerusi pembentangannya mengatakan kerajaan Malaysia sekarang sedang berusaha untuk menjadikan sebahagian kawasan di selatan Selat Melaka iaitu di Kukup dan Tanjung Piai sebagai kawasan lindungan (Particularly Sensitive Sea Area [PSSA]) yang telah rosak akibat aktiviti perkapalan melampau. Akan tetapi masalah persempadanan dengan Indonesia di Selat Melaka telah merencatkan aspirasi ini.

Secara keseluruhan, dapatan daripada seminar ini berkesimpulan bahawa sempadan maritim negara berada dalam dilema dan perlu ditangani dengan segera dengan kerjasama pihak kerajaan, ahli akademik dan rakyat Malaysia sendiri.

Kerajaan Malaysia yang memang terkenal dengan kemahiran diplomasi yang hebat perlu meneruskan usaha untuk mengukuhkan ‘pagar maritim’ demi keutuhan kedaulatan negara. Kita tidak sentiasa bernasib baik seperti dalam kes Sipadan-Ligitan dan kita tidak mahu tragedi Batu Puteh terjadi lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here