PKR hari ini menyarankan agar kerajaan menawarkan diri menjadi pusat koordinasi diaspora Palestin.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pusat berkenaan haruslah berperanan menghimpunkan semua maklumat dan data, mengukur keupayaan serta kelebihan rakyat Palestin bagi merangka persiapan masa depan.

“Rakyat Palestin terkenal dengan kepintaran intelektual mereka, sarjana ekonomi terkemuka di Amerika Syarikat, Mohamad Aryan, berasal dari Palestin.

“Saya nak mengesyorkan, harus ada program khusus untuk pemerintah membawa ‘the best brain’ dalam kalangan rakyat Palestin.

“Bawa ke sini mengajar di universiti, bertugas di hospital, menjadi penasihat dan sebagainya. Ini dalam batas keupayaan pemerintah, bukan NGO,” katanya yang menjadi panel Forum Khas Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis hari ini di Masjid Putra.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempelawa rakyat berbilang kaum, NGO serta pemimpin parti pembangkang menyertai himpunan itu.

Ia bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin ekoran tindakan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Saifuddin turut menyarankan agar kerajaan menggunakan institut diplomasi yang pernah digunakan sebelum ini untuk membantu rakyat Afghanistan dan Bosnia Herzegovina.

“Sebab ini merupakan ‘capital building’ untuk masa depan dalam menentukan sumbangan yang berkesan.

“Yang ini dalam batas keupayaan kita. Ianya memerlukan satu ‘political will, political decision and action’,” katanya.

Saifuddin turut menyatakan walaupun mempunyai pendirian dan berbeza parti politik, tetapi dalam isu mempertahankan umat Islam harus mempunyai titik pertemuan.

“Kalau ada satu isu yang boleh kita berpijak di satu platform sama, ianya tidak lain tidak bukan isu Palestin dan perjuangan pembebasan Baitulmaqdis,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here