PENGLIBATAN kaum wanita di negara ini di dalam bidang pendidikan dan sektor awam serta swasta tidak boleh dinafikan lagi.

Boleh dikatakan pada masa ini, hak kesamarataan jantina berada pada tahap terbaik termasuk di peringkat universiti awam dan swasta yang boleh dilihat sebanyak 60 peratus terdiri daripada golongan wanita.

Dalam era Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri, isu wanita tidak pernah diketepikan malah menjadi perkara utama yang dibincangkan dalam pelbagai forum yang dianjurkan banyak pihak.

Dalam politik zaman Najib juga, penglibatan wanita tidak boleh dinafikan malah kebanyakannya menjadi pemimpin da­lam bidang itu.

Nama-nama besar seperti Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Azizah Mohd. Dun serta ramai lagi dalam politik sentiasa menjadi pejuang dalam meningkatkan peranan wanita dalam politik negara sejak sekian lama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri sudah memberi bayangan yang Barisan Nasional (BN) akan meletakkan lebih ramai calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kini semakin hampir.

Kerana itu juga Ahmad Zahid sudah memberikan kepercayaannya dan menjelaskan wanita harus menjadi tulang belakang politik Malaysia.

Bagaimanapun, kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik Najib kerana gagal melantik lebih ramai wanita dalam Kabinet sebagai usahanya memancing pengundi wanita sebenarnya dakwaan dangkal semata-mata.

Dr Mahathir seolah-olah sengaja menimbulkan provokasi murahan apabila berkata menteri wanita yang berada dalam Kabinet diberi jawatan yang tidak begitu penting.

Di dalam satu kajian menyatakan, sejak negara merdeka, wanita Malaysia telah mempunyai hak untuk mengundi dalam pilihanraya dan memegang jawatan pentadbiran.

Kini, wanita ialah sebahagian daripada pengundi berdaftar dan aktif melibatkan diri dalam kegiatan politik.

Bagaimanapun kajian itu menyatakan, berbanding menjadi pemimpin, majoriti wanita meneruskan corak berpolitik yang hanya melibatkan aktiviti sokongan kepada lelaki terutama sekali dalam penjanaan kewangan politik dan melibatkan diri sepenuhnya hanya sewaktu pilihanraya.

Wanita juga dikatakan melakukan tugas rutin berkaitan dengan kempen harian, dan menjadi perantara dengan pengundi semasa proses pilihanraya untuk parti politik masing-masing.

Realitinya, isu memperkecil peranan wanita dalam politik dimulakan pada zaman Mahathir sendiri.

Sejak dahulu, Malaysia menduduki tangga ke 156 daripada 189 negara di mana jumlah perwakilan wanita di peringkat parlimen sangat kecil iaitu hanya 10.4 peratus atau 23 kerusi daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Namun cadangan Najib untuk meminda undang-undang berkaitan wanita sekiranya BN menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang boleh dilihat anjakan paradigma untuk perubahan itu.

Presiden UMNO itu berkata, pindaan itu akan memperuntukkan kuota 30 peratus kepada wanita untuk dilantik sebagai senator Dewan Negara menjadi titik tolak dakwaan Mahathir itu dusta semata-mata.

Di dalam Kabinet Najib ketika ini terdapat tiga menteri wanita iaitu Datuk Nancy Shukri dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, serta Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Nancy dan Rohani adalah dari parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak iaitu PBB manakala Azalina dari parti utama BN, UMNO.

Dalam isu berkaitan, Najib juga sudah menyatakan 2018, akan menjadi Tahun Memperkasa Wanita.

Antara langkah selain politik yang dilihat mesra wanita dan diumum dalam pembentangan Bajet 2018 adalah cuti bersalin di sektor swasta ditambah daripada 60 kepada 90 hari, manakala bagi wanita di sektor awam, cuti bersalin ditambah daripada 300 kepada 360 hari (maksimum 90 hari setahun).

Bagi wanita hamil lima bulan ke atas yang bekerja di sektor awam dan juga di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), diberi pelepasan sejam lebih awal.

Janji Najib itu juga boleh dilihat dikitar semula Mahathir yang berkata sekiranya PH berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan, pakatan itu akan meletakkan lebih ramai wanita di dalam kerajaannya.

Janji Mahathir untuk tidak mengehadkan kepada minimum 30 peratus wanita menjadi senator Dewan Negara juga hanya gula-gula politik PH yang mahu mengaburi mata rakyat.

Bagaimana tidak, rintihan Pengarah Pilihan Raya Wanita Pakatan Harapan, Haniza Talha yang merayu parti itu memberikan lebih perhatian serta peluang kepada golongan berkenaan membuktikan sebaliknya.

Haniza turut memberitahu Pakatan Harapan yang diketuai DAP selama ini seolah-olah kurang memberi perhatian terhadap suara dan penglibatan kaum wanita.

Jika kepimpinan Pakatan Harapan sendiri menganggap wanita hanya sekadar jentera parti semata-mata, jadi di mana rasionalnya janji Mahathir?

Benarlah peribahasa Cina yang mengatakan peluang akan timbul setiap kali berlaku sesuatu krisis.

Kata-kata Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker yang mendakwa Mahathir adalah seorang politikus yang licik tidak boleh dinafikan.

Mahathir sentiasa muncul dan menangguk di air keruh sebagai pemenang.

Dalam isu wanita ini, Mahathir tetap melakukan langkah sama namun rakyat tidak lagi mudah terperdaya kerana sudah dapat membaca dan menangkis setiap strategi basi individu berusia 93 tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here