web_4.v1439976795

BARCELONA – Kemenangan 1-0 diraih Barcelona ke atas Athletic Bilbao pada perlawanan pembukaan ternyata memberi kepuasan buat Luiz Enrique, pengendali Barcelona itu.

Meskipun sekadar mencatat kemenangan tipis selepas Lionel Messi gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama, Enrique masih selesa memuji para pemainnya kerana telah mempamerkan corak permainan yang disifatkan sebagai ‘lengkap’ terutama apabila Luis Suarez menjaringkan gol kemenangan.

Enrique menyifatkan kemena­ngan tersebut sebagai kenangan manis kerana mereka sebelum ini tewas secara agregat 1-5 kepada Bilbao dalam aksi akhir Piala Super Sepanyol minggu lalu.

“Kami telah memulakan kempen liga pada tahap yang sangat tinggi. Kami juga berjaya menghalang Bilbao me­lakukan percubaan berbahaya ke arah pintu gol kami dan saya puas apabila Bilbao dapat ditewaskan.

“Barcelona bermain dengan cukup lengkap pada setiap posisi ketika perlawanan itu,” ujar Enrique.

Pada aksi perlawanan tersebut, Sergio Busquets terpaksa diusung keluar padang, manakala Dani Alves dikeluarkan selepas mengalami kecede­raan.

“Bola sepak adalah sukan lasak dan kecederaan pula sebahagian daripada permainan. Keadaan mereka (Busquets dan Alves) agak membimbangkan,” kata Enrique.

Selain itu, Enrique enggan mengulas berhubung spekulasi yang mengatakan Manchester United mahu mendapatkan khidmat Neymar.

“Saya mendengar orang ramai bercerita mengenai Neymar akan berpindah menyertai kelab lain. Saya tidak peduli. Saya tidak akan bercakap mengenai khabar angin,” ujarnya. – Agensi

-Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here