SATU demi satu tuduhan yang dilemparkan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan negara sekarang. Baharu sahaja semalam Mahathir tampil dengan dakwaan terbarunya apabila menuduh pentadbiran YAB Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak bukan sahaja telah menghakis amalan demokrasi di negara ini, bahkan kepimpinan negara turut didakwa menghancurkan terus nilai tersebut.

Jelas, Mahathir biarpun umurnya sudah lebih 90 tahun, tetap tidak lelah dan penat untuk menghentam pentadbiran Najib. Ada sahaja ruang dan peluang, pasti tidak akan beliau lepaskan. Mengkritik amalan demokrasi di bawah Najib bukanlah pilihan yang bijak buat bekas perdana menteri itu. Mahathir juga perlu merenung dan bermuhasabah bahawa demokrasi di bawah pemerintahannya selama 22 tahun sebelum ini juga bukanlah satu contoh amalan terpimpin yang boleh dibanggakan.

Mahathir Sendiri Mudah Lupa

Jika Mahathir terlalu asyik membicarakan kleptokrasi di bawah Najib yang tidak pernah dibuktikan, maka beliau juga perlu melihat kembali kepada dirinya sewaktu menjadi perdana menteri dahulu. Nepotisme dan kronisme yang dikaitkan dengan pemerintahannya dahulu bukanlah isu terpencil. Kita bukan sahaja bercakap tentang skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) yang kembali menjadi perhatian umum, malah kita juga bercakap mengenai pelbagai isu lain yang membelenggu negara pada masa itu. Sehingga kini, misalnya, rakyat masih tidak melupakan krisis dan kontroversi yang telah menimpa PERWAJA dan MAS.

Ketika Mahathir hanya memfokuskan kritikannya terhadap Najib dalam satu isu – 1MDB -, ternyata bekas perdana menteri itu mempunyai pelbagai isu yang terpalit atas batang tubuhnya sendiri yang masih belum dijawab dan dijelaskan sehingga sekarang. Persoalan mengenai sumber kekayaan yang dikecapi anak-beranaknya sepanjang pemerintahannya dahulu pun nampaknya tidak dijelaskan sehingga kini.

Persempadan Semula SPR Satu Kebiasaan

Kembali bercakap mengenai demokrasi di Malaysia, Mahathir pantas memberi contoh bahawa amalan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah salah satu contoh bahawa Malaysia di bawah Najib memang terancam demokrasinya. Agaknya Mahathir lupa bahawa dasar persempadanan semula itu bukanlah amalan baharu. Ianya sudah wujud sewaktu pemerintahannya dahulu. Mustahil beliau langsung tidak tahu. Atau apakah beliau memang sedar, tetapi sengaja menimbulkan isu ini apabila sudah kekeringan idea untuk terus memburukkan Najib? Hakikatnya, amalan persempadanan semula ini tidak pun melibatkan sebarang campur tangan politik oleh pihak kerajaan.

Ya, ia mungkin akan terus menimbulkan sentimen skeptikal dalam kalangan masyarakat. Tetapi secara faktanya, amalan ini adalah satu kebiasaan yang kita lihat turut dipraktikkan di banyak demokrasi terutamanya di Amerika Syarikat (AS). Bukankah pembangkang sendiri juga pernah menjadikan amalan demokrasi AS sebagai model sistem politik mereka? Mengapa baru sekarang Mahathir bersuara mengenai perkara ini? Jika benar dasar sebegini memberi peluang kepada campur tangan kerajaan, ini bermakna Mahathir juga sebenarnya memalitkan dirinya sendiri dengan ‘jenayah’ itu kerana beliau sendiri tidak berbuat apa-apa mengenainya sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.

Sikap Mengelak Tidak Membantu

Menuduh Najib menggunakan kuasanya dalam menyekat pengaruh pemimpin pembangkang juga merupakan satu lagi tuduhan yang kita dengar saban tahun. Ternyata, Mahathir secara tidak langsung cuba mengaitkan dakwaan terhadapnya mengenai skandal forex BNM dalam hal ini. Kebetulan pula, Mahathir sekarang ini sedang memfailkan saman di mahkamah untuk mengisytiharkan laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai skandal itu sebagai tidak sah. Secara rasionalnya, pihak yang disiasat atas sebarang salah laku perlulah mempertahankan dirinya daripada tuduhan yang dipalitkan, tidak kiralah siapa pun individu tersebut.

Kerugian yang dicatatkan dalam skandal forex tersebut bukanlah sedikit. Ianya lebih 30 bilion. Tentulah kesemua individu yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan wang rakyat tersebut perlu menjawab dan memberi penjelasan bagaimana kerugian itu boleh berlaku. Jika terbukti bersalah, maka mereka perlulah bersedia untuk berdepan dengan tindakan undang-undang. Sebenarnya, Mahathir mempunyai terlalu banyak ruang dan peluang untuk memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai perkara itu atas pelbagai platform. Jadi kenapa beliau tidak memanfaatkan semua peluang itu? Taktik dan strategi mengelak untuk berterus-terang sama sekali tidak akan membantu membersihkan imej beliau.

”Inferiority Complex” Seorang Bekas Perdana Menteri

Dalam tidak henti-henti menghentam dan mengkritik Najib, Mahathir perlu sedar bahawa polisi yang dikatakan bersifat “menindas” yang ada pada hari ini adalah legasinya juga. Demokrasi yang tercalar yang didakwanya berleluasa sekarang pula tidak lain dan tidak bukan adalah ciptaannya sendiri. Sebagai perdana menteri sebelum ini, beliau sendiri tidak pernah bersungguh untuk mewujudkan mekanisme “check and balance” ke atas aspek legislatif, eksekutif dan perundangan negara. Bukan rahsia lagi bahawa aspek kehakiman dan perundangan paling teruk terhakis sewaktu Malaysia berada di bawah pemerintahan Mahathir. Jadi, yakin sangatkah Mahathir bahawa kepimpinannya dahulu lebih bersih dan suci daripada kepimpinan yang ada kini?

Jika benar Mahathir ingin membuktikan bahawa dirinya betul-betul menghargai nilai demokrasi, maka sewajarnya beliau perlu bersedia untuk berhadapan dengan pendakwaan dan siasatan yang bakal muncul kelak. Jika benar beliau begitu yakin bahawa demokrasi di Malaysia sudah terhakis, dan jika beliau benar-benar berazam untuk mengembalikan dan menyuburkan semula amalan demokrasi di Malaysia, maka beliau terlebih dahulu perlu menunjukkan teladan ke arah itu. Yakinkan pembangkang dan rakyat bahawa beliau bersedia untuk berdepan dengan segala perbicaraan di mahkamah kelak. Jelaskan juga kepada mahkamah dan rakyat secara telus dan jujur apa sebenarnya yang berlaku dan peranan beliau dalam skandal BNM dan PERWAJA contohnya.

Selain itu, datangkan juga kepada rakyat akan bukti-bukti yang menafikan bahawa beliau telah menggunakan kuasanya selaku perdana menteri untuk “menganugerahkan” projek dan kekayaan kepada anak-anaknya. Persoalannya sekarang, sanggupkah Mahathir memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut? Melihatkan sikap dan tindakannya sekarang, perkara itu tampak sukar dijelmakan kerana Mahathir bukanlah seorang yang berani mengakui kesilapan diri, dan tidak pula beliau sanggup melihat pemimpin lain lebih berjaya daripada dirinya sendiri. Ternyata Sultan Selangor benar apabila baginda menyifatkan bekas perdana menteri itu mempunyai sindrom “inferiority complex.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here