JIKA dilihat kembali kepada sejarah perjuangan politik pembangkang yang ada pada hari ini, orang ramai pasti akan mendapati dan menyedari bahawa perkataan “rakyat” sememangnya tidak lekang daripada propaganda yang lahir daripada mulut pemimpin-pemimpin pakatan tersebut.

Itu adalah helah biasa yang digunakan bagi menggambarkan bahawa perjuangan mereka selama ini memang sebenarnya tidak mempunyai matlamat songsang melainkan semata-mata demi rakyat. Ini sekaligus memberi makna bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang sanggup berkorban apa sahaja samada daripada segi wang dan kedudukan asalkan kebajikan serta kepentingan rakyat terus terbela dan terpelihara.

Sejak era reformasi pada tahun 1998, perkataan “rakyat” ini agak sinonim dengan blok politik itu apabila Parti Keadilan mula menukarkan namanya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dalam himpunan-himpunan dan demonstrasi yang dianjurkan pembangkang sejak era tersebut, kalimah “Hidup Rakyat” juga terus meniti di bibir mereka tanpa henti dan berkekalan sehingga kini.

Trend itu diteruskan apabila pakatan pembangkang yang dianggotai PKR, DAP dan PAS mula membentuk Pakatan Rakyat (PR) selepas kemenangan tidak dijangka mereka di beberapa buah negeri pasca pilihan raya umum (PRU) ke -12. Nama pakatan itu, biarpun pada mulanya tidak didaftarkan secara rasmi, terus diguna pakai oleh mereka sehinggalah PRU ke-13 pada 2013.

Walaupun mereka berjaya memenangi undi popular pada PRU tersebut, ‘kejayaan’ itu tidak memberikan apa-apa makna yang signifikan apabila bilangan kerusi yang mereka menangi di Parlimen jauh daripada cukup, sekaligus tidak memungkinkan mereka membentuk kerajaan persekutuan pada ketika itu.

Hari ini, perkataan “rakyat” sudah pun lekang daripada nama gabungan empat parti pembangkang – PKR, DAP, AMANAH dan PPBM. Mungkin kerana mereka sudah kekeringan idea mengenai apakah perkataan lain yang sesuai menggambarkan kesepakatan mereka setelah keluarnya PAS pada 2015 dan masuknya AMANAH serta PPBM selepas itu.

Atau barangkali kerana mereka juga sebenarnya sudah mula menyedari bahawa perkataan “rakyat” tidak lagi menggambarkan tahap sokongan rakyat terhadap mereka setidak-tidaknya pada waktu ini. Maka lahirlah Pakatan Harapan (PH), gabungan politik yang juga masih belum berdaftar secara rasmi.

Walau apa pun sebab dan punca yang mungkin dapat memberikan penjelasan terhadap perkara tersebut, orang ramai wajar sedar bahawa di sebalik keterdesakan PH menggunakan perkataan “rakyat” dalam kamus perjuangan politik mereka, hakikatnya sikap dan tindakan mereka mutakhir ini langsung tidak menggambarkan matlamat perjuangan yang benar-benar berpaksikan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Rakyat juga sebenarnya tidak perlu melihat begitu jauh untuk memahami realiti ini. Lihat sahajalah kepada isu pembahagian kerusi sesama parti komponen pakatan tersebut yang bukan sahaja masih tidak selesai, bahkan menimbulkan pula rasa tidak puas hati dan ketegangan di beberapa negeri yang dilihat menjanjikan peluang yang agak cerah buat mereka menjelang PRU14 kelak. Namun nampaknya mereka memilih untuk berkelahi dan mementingkan parti politik masing-masing demi kuasa dan kedudukan yang tampak sudah terlihat di depan mata.

Setelah kekecohan yang timbul di Konvensyen PH Negeri Sembilan di Seremban baru-baru ini mengenai isu pembahagian kerusi, PH Selangor pula nampaknya kini bergelut dengan isu yang sama. Semuanya gara-gara sifat tamak haloba PPBM yang begitu kuat berangan-angan untuk menyaingi dan menumpaskan UMNO di kerusi-kerusi yang kebanyakannya telah diperuntukkan kepada PKR.

Di Selangor, rundingan kesemua parti komponen PH mengenai baki 21 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih gagal diselesaikan walaupun setelah mesyuarat jawatan kuasa strategi pilihan raya mereka telah beberapa kali diadakan. Kegagalan ini juga banyak ‘disumbangkan’ oleh sikap keras kepala PPBM yang melihat mereka adalah parti yang selayaknya bertanding di 12 kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU yang lalu.

Inilah sikap PPBM yang terlalu teruja untuk membuktikan keupayaannya menyaingi UMNO biarpun ia adalah pendatang baharu dalam politik tanahair dan tidak pernah pula teruji dalam mana-mana pilihan raya sekalipun. Hakikat bahawa nasib parti itu yang kini umpama kapal menanti karam tidak sedikit pun menyedarkan PPBM mengenai potensi sebenar mereka menjelang PRU kelak.

Kerapuhan pakatan pembangkang ini semakin jelas terlihat dengan sikap tiadanya tolak ansur parti-parti komponen yang lain khususnya PKR dan DAP yang masing-masing bertegas mahu bertanding di kerusi-kerusi yang mereka yakin menang. Akhirnya AMANAH sahajalah yang terpaksa menjadi “Pak Turut”, menggigit jari melihatkan ketamakan rakan-rakan komponen yang lain. Parti serpihan PAS itu nampaknya hanya menikmati apa yang tersisa daripada nafsu besar PKR, DAP dan PPBM.

Maka selain perkataan “rakyat” yang digunakan mereka sebelum ini, perkataan “pakatan” yang ada kini juga nampaknya sudah memberikan makna yang palsu. Gabungan pembangkang itu terus gagal berpakat dalam erti kata yang sebenar. Sikap mereka yang meletakkan kuasa dan kedudukan di depan mata, selain tiadanya tolak ansur sesama parti-parti komponen itu membuktikan bahawa perjuangan politik mereka selama ini bukanlah demi rakyat. Ianya hanyalah satu slogan dan janji palsu yang ditaburkan bagi mengaburi mata orang ramai mengenai potensi mereka sebagai alternatif kepada kerajaan yang ada pada hari ini.

Apabila mereka sendiri sudah nampak ‘nikmat’ kuasa dan jawatan di depan mata, maka tidak hairanlah mengapa masing-masing ingin menjadi pendahulu dan ‘jeneral perang’ di negeri-negeri yang berkaitan. Sikap tamak seperti ini sedang diperhatikan oleh rakyat terbanyak yang kesannya sudah terzahir dalam satu gerakan yang mempelopori idea #UndiRosak. Itu sudah cukup menggambarkan betapa sebilangan rakyat mula muak dan menunjukkan protes mereka terhadap PH yang tentunya masih gagal memberikan pilihan yang baik kepada mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here