MINGGU ini, rakyat Palestin dan umat Islam yang cakna di serata dunia umumnya akan memperingati dan mengenang kembali sebuah perjanjian yang dikenali sebagai Deklarasi Balfour. Ianya ditandatangani oleh Setiausaha Luar Britain, Arthur Balfour pada 2 November 1917, menjadikan ia sebagai titik tolak kepada usaha merealisasikan matlamat Zionis untuk menubuhkan sebuah negara Yahudi di Palestin. Tarikh itu juga menandakan bermulanya hari-hari gelap yang dilalui umat Islam di sana setelah jatuhnya Empayar Uthmaniyyah.

Deklarasi Balfour adalah satu bentuk komitmen Britain kepada orang Yahudi, sekaligus menjadi pemangkin kepada Nakba, sebuah peristiwa malang yang dirujuk sebagai pembersihan etnik Palestin pada 1947-1949, dan juga konflik antara Palestin-Israel yang terus berlarutan sehingga ke hari ini. Peristiwa Nakba menyaksikan seramai 750,000 penduduk Palestin menjadi pelarian setelah Zionis merampas hampir 80 peratus tanah milik mereka dengan lebih 500 buah kampung dan bandar dimusnahkan. Kekejaman itu juga menyaksikan kira-kira 15,000 penduduk Palestin dibunuh beramai-ramai.

Sehingga hari ini, Deklarasi Balfour menjadi antara dokumen yang paling kontroversi dalam sejarah moden di dunia Arab dan keabsahannya juga menjadi pertikaian dan perdebatan dalam kalangan ramai pengkaji dan ahli sejarah. Sebahagian mereka berpendapat, Britain tiada sebarang hak, baik dari segi moral mahupun undang-undang, untuk sesuka hati menjanjikan Palestin kepada Yahudi Zionis sebagai “national home” mereka. Malah, konsep “national home” itu sendiri tidak pernah wujud di bawah undang-undang antarabangsa.

Deklarasi Balfour: Sepintas Lalu

Deklarasi Balfour sebenarnya hanyalah satu surat yang mengandungi kenyataan bertulis ringkas yang diutuskan oleh Balfour kepada pemimpin utama komuniti Yahudi di Britain, Lionel Walter Rothschild ketika mana Perang Dunia Pertama masih lagi berlangsung. Deklarasi itu menjadi manifestasi penting dalam sistem yang dipanggil sebagai Mandat Britain (British Mandate) setelah Empayar Uthmaniyyah berjaya ditumbangkan.

Sistem mandat ini pada asalnya dibentuk oleh Kuasa Perikatan (Allied Powers) sebagai satu mekanisme baru untuk menakluk dan membahagi-bahagikan wilayah-wilayah yang sebelum ini berada di bawah penguasaan pakatan Kuasa-kuasa Pusat (Central Powers) – Jerman, Austria-Hungary, Empayar Uthmaniyyah dan Bulgaria – yang kalah dalam peperangan tersebut. Ringkasnya, sistem mandat ini adalah satu penjajahan bentuk baru yang membolehkan kesemua negara-negara yang menang dalam peperangan tersebut mempunyai kawalan dan kuasa pemerintahan ke atas negara-negara yang baru dibentuk itu dan mempersiapkan mereka ke arah kemerdekaan pada suatu masa yang sesuai.

Pengkhianatan Britain

Mempersiapkan sebuah negara ke arah kemerdekaan bermakna membantu negara tersebut memperoleh satu sistem politik tajaan Barat pada ketika itu iaitu demokrasi yang memerlukan kepada adanya pilihan raya dan penubuhan institusi-institusi sivil seperti parlimen dan dewan perwakilan. Malang buat Palestin kerana tuntutan mereka terhadap perkara-perkara ini dinafikan Britain. Taktik dan helah Britain pada ketika itu cukup mudah; tekan dan tindas penduduk Palestin sehinggalah pendatang Yahudi membentuk majoriti. Setelah membentuk majoriti di sana, baru lah Zionis boleh memulakan langkah pengambilalihan dan pendudukan di Palestin secara sistematik.

Nasib penduduk Palestin umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Walaupun sistem mandat hanya diluluskan pada 26 April 1920, Deklarasi Balfour membuktikan bahawa Britain sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menyerahkan Palestin, yang bukan pun milik mereka, kepada entiti etnik yang lain. Matlamat ataupun objektif utama Mandat Britain di sana adalah mewujudkan sebuah ‘ibu pertiwi’ bagi orang-orang Yahudi walaupun pada hakikatnya jumlah penduduk Yahudi di Palestin pada ketika itu tidak pun sampai 10 peratus. Britain ternyata sudah pun mempunyai perancangan ‘jahat’ untuk membawa masuk orang-orang Yahudi Eropah secara besar-besaran ke Palestin.

Pemberontakan Penduduk Palestin

Pada tahun 1935, jumlah pendatang Yahudi di Palestin dikatakan sudah pun mencecah angka 27 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk Palestin, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kebangkitan Nazi di Jerman yang memaksa puluhan ribu Yahudi di Eropah ‘berhijrah’ ke Palestin. Kebanjiran pendatang Yahudi ini membuatkan penduduk Palestin bangkit memberontak dan menentang Britain disebabkan sokongan kuasa besar itu terhadap pendudukan haram Yahudi di sana.

Kebangkitan yang dikenali sebagai Arab Revolt ini kekal sehingga 1939 menyaksikan sebanyak 2,000 rumah penduduk Palestin dimusnahkan, 9,000 penduduk pula ditempatkan di kem konsentrasi dan dipaksa berdepan dengan pelbagai bentuk penyeksaan. Pemberontakan itu juga menyaksikan kira-kira 200 pemimpin Palestin diusir selain hampir 10 peratus penduduk lelaki di sana samada dibunuh, cedera mahupun dipenjarakan.

Kemusnahan Yang Ditinggalkan

Bimbang dengan konflik yang semakin buruk itu, Britain cuba mengawal kemasukan Yahudi ke Palestin, usaha yang pada akhirnya digagalkan oleh ramai pelobi Yahudi di London. Malah, tindakan Britain yang cuba meletakkan had terhadap kemasukan Yahudi ke Palestin tatkala mereka sedang mencari perlindungan daripada pembantaian Holocaust ternyata mengundang kemarahan Zionis di mana sebahagian kumpulan bersenjata Yahudi telah mengisytiharkan perang terhadap Britain. Akibatnya, banyak kepentingan Britain telah diserang, termasuklah kejadian pengeboman Hotel king David pada 1946 yang menyebabkan seramai kira-kira 91 orang daripada pelbagai negara terbunuh.

Situasi yang semakin tegang itu membuatkan Britain pening kepala. Akhirnya, pada awal 1947, Britain mengumumkan bahawa ia akan menyerahkan ‘bencana’ dan ‘malapetaka’ yang ia sendiri cipta kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sekaligus menamatkan mandatnya secara rasmi di Palestin pada 14 Mei 1948. Hanya dalam tempoh beberapa jam selepas mandat itu tamat, iaitu hanya sehari selepas itu, perdana menteri pertama Israel, David Ben-Gurion mengumumkan penubuhan negara haram tersebut.

Badan Dunia Yang Lesu

Sejak itu, tarikh hitam 15 Mei sentiasa diingati penduduk Palestin sebagai satu tragedi negara yang kini seolah-olah tidak lagi bertanah. Israel pula sebaliknya menyambut tarikh itu sebagai ulang tahun kemerdekaannya. Setelah hampir 70 tahun, peningkatan bilangan penduduk Palestin yang diusir dan tanah mereka yang dirampas hanya memperlihatkan kegagalan fungsi institusi-institusi antarabangsa seperti PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab yang kononnya dan sepatutnya tegas memelihara keamanan sejagat. Sikap pilih kasih PBB dan pengecut yang ada dalam diri sebahagian pemimpin dunia Islam yang menjadi boneka Barat hanya membuatkan keadaan di Palestin bertambah buruk.

Sejak penubuhan negara haram Israel, tidak ada langsung perkampungan ataupun bandar Palestin yang dibina dalam sempadannya sendiri, berbanding hampir 600 penempatan haram Yahudi yang telah dibangunkan. Hari ini, terdapat hampir lapan (8) juta rakyat Palestin yang menjadi pelarian dan tidak dapat lagi pulang ke rumah ataupun kampung asal mereka. Ketika umat Islam mengaitkan kekejaman Yahudi dengan kegagalan badan-badan antarabangsa, adalah penting untuk mereka juga tahu bahawa konflik Palestin-Israel ini sebenarnya turut didalangi oleh beberapa kuasa besar terutamanya Britain melalui sistem mandat yang diwujudkan.

Ketika Britain menamatkan mandatnya di Palestin pada 1948, Zionis sudah lama diberikan hak pemerintahan sendiri (self rule), memberikan mereka peluang untuk membentuk pasukan bersenjata ataupun tentera yang terlatih. Hak tersebut juga membolehkan Yahudi menubuhkan begitu banyak institusi mirip kerajaan sebagai satu langkah mempersiapkan mereka ke arah pembentukan sebuah negara. Tiada hak yang serupa diberikan kepada penduduk Palestin dalam hal tersebut. Situasi ini akhirnya menjelaskan bagaimana begitu mudah kerajaan haram Zionis melaksanakan polisi pembersihan etnik di Palestin sebaik sahaja Britain berundur pada 1948 dan proses it uterus berjalan sehingga sekarang. Apa yang pasti, di sebalik proses damai Fatah-Hamas yang berlangsung ketika ini, kita tidak nampak dasar ‘apartheid’ Israel terhadap penduduk Palestin akan berhenti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here