Tidak sampai setahun lagi demam Piala Dunia 2018 akan mula melanda seluruh dunia. Ini memberi petanda tidak lama lagi peminat bola sepak akan dihidangkan plot sarat aksi dan drama 32 negara.

Jika edisi lalu milik Jerman, adakah skrip sama bakal diulangi kali ini? Atau mungkinkah akan ada kejutan yang tidak dijangka daripada pasukan bukan pilihan? Persoalan itu hanya akan terjawab 14 Jun hingga 15 Julai tahun depan

Sebelum itu, untuk menghangatkan lagi demam Piala Dunia Rusia 2018, Sinar Harian ingin membawakan analisis pra produksi ‘filem wajib tayang: Rusia 2018’ hasil undian peringkat kumpulan kelmarin.

Calon juara?

Atas kertas, juara empat kali dan lima kali Piala Dunia, Jerman dan Brazil menjadi dua pilihan utama untuk menambah koleksi trofi masing-masing.

Jerman juara bertahan dijangka tidak akan berdepan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan mara ke pusingan berikutnya apabila diundi di dalam Kumpulan F bersama Mexico, Sweden dan Korea Selatan.

Terdahulu di pusingan kelayakan, skuad kendalian Joachim Low cemerlang mencatat rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan, sekali gus mengekalkan status selaku pasukan nombor satu dunia.

Begitu juga Brazil pasukan ranking kedua dunia selepas hampa dalam tiga edisi berturut-turut, skuad samba pastinya mahu menebus kegagalan pada edisi kali ini.

Membariskan pemain bintang seperti Neymar Jr, Gabriel Jesus dan Philippe Coutinho, skuad kali ini dianggap antara terbaik untuk kuasa Amerika Selatan mengulangi kejuaraan 1958, 1962, 1970, 1994 dan 1992.

Wajib tonton

Belum pun Rusia 2018 membuka tirai, ramai peminat sudah mula memperkatakan pertembungan menarik beberapa gergasi Eropah yang diundi dalam satu kumpulan yang sama.

Kumpulan B bakal menyaksikan pertembungan menarik di antara juara Euro 2016, Portugal dengan juara Piala Dunia 2010, Sepanyol dikatakan bakal menjanjikan perlawanan blockbuster  yang ditunggu-tunggu peminat bola sepak seluruh dunia.

Pertembungan menarik juga menanti dalam Kumpulan G yang membariskan Belgium dan England yang dianggap sebagai  reunion bintang Liga Perdana Inggeris (EPL).

Nama-nama besar EPL seperti Eden Hazard, Romelu Lukaku, Marouane Fellaini, Thibaut Courtois, Kevin De Bruyne (Belgium) dan Harry Kane, Dele Alli, Marcus Rashford, Raheem Sterling, Jamie Vardy (England) dijangka akan diwarnai dengan babak-babak drama yang menarik untuk ditonton.

Kejutan bukan pilihan

‘Kecil-kecil cili api’. Itu ungkapan buat Iceland yang mencipta rekod negara dengan populasi terkecil beraksi di pentas Piala Dunia.

Dengan mencipta kejutan menjuarai Kumpulan I di kelayakan Piala Dunia Zon Eropah sebelum ini, Iceland pastinya menjadi pasukan kuda hitam yang tidak boleh dipandang remeh lawan.

Selain itu, Mesir yang mara ke Piala Dunia selepas 28 tahun juga dianggap sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian.

Reputasi cemerlang pemain sensasinya, Mohamed Salah sejak akhir-akhir ini menjadikannya ‘watak utama’ untuk membawa pasukan itu mara lebih jauh.

Jangan dinafikan juga ancaman dari tuan rumah, Rusia yang sudah pasti ingin membuktikan sesuatu di laman sendiri.

Apa nasib wakil Asia?

Berapa puluh tahun lagi agaknya yang diperlukan untuk melihat wakil Asia menjulang Piala Dunia? Persoalan yang agak sukar dijawab selepas melihat rekod wakil benua ini yang sering menjadi pelengkap peringkat kumpulan dan lubuk gol oleh kuasa besar bola sepak dunia.

Rekod terbaik wakil benua Asia di pentas ini hanyalah di peringkat separuh akhir yang telah dicatat oleh Korea Selatan pada edisi 2002 ketika menjadi tuan rumah bersama Jepun.

Edisi kali ini, harapan mereka untuk mengatasi rekod 2002 itu mungkin agak berliku selepas diundi bersama juara bertahan, Jerman selain Mexico dan Switzerland yang memiliki pemain bertaraf dunia.

Harapan terbesar Asia pada edisi kali ini mungkin diletakkan pada pasukan Arab Saudi dan Jepun yang dilihat lebih bernasib baik apabila diundi di dalam kumpulan yang agak seimbang berbanding tiga wakil Asia lain.

— Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here