Thursday, August 17, 2017
Home News Sport Hanya Norza Bos Saya – Datuk Misbun Sidek

Hanya Norza Bos Saya – Datuk Misbun Sidek

159
0
Datuk Misbun Sidek
Sumber Foto : Utusan Online

KUALA LUMPUR – Datuk Misbun Sidek me­negaskan bahawa dia hanya akan bekerja dengan seorang ‘bos’ iaitu Presiden Persa­tuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zaka­ria sebaik sahaja memulakan tugas baharunya sebagai ketua jurulatih bersama badan induk badminton negara itu secara rasmi hari ini.

Katanya, dia lebih selesa be­kerja begitu kerana arahan yang banyak atau lebih daripada seorang bos (termasuk Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen), mampu menimbulkan situasi yang mengelirukan untuk membuat keputusan.

“Saya akan kerja dengan seorang bos sahaja. Saya se­nang dan selesa bekerja begitu. Saya tidak mahu bos-bos lain. Kalau banyak suara nanti, berat saya hendak buat keputusan.

“Tujuan (perseorangan) kita sekarang ialah pembangunan dan kejayaan, jadi kalau banyak input lain, lebih banyak pula kekeliruan (akan timbul),” katanya dalam sidang akhbar bersama Norza di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini.

Namun Misbun tetap mengalu-alukan kerjasamanya dengan tiga lagi jurulatih perseorangan iaitu Hendrawan, Indra Widjaja dan Sairul Amar Ayob yang terlebih dahulu membimbing pemain untuk mengenal pasti perwatakan mereka di gelanggang.

“Rejim latihan saya mungkin sama sahaja. Saya juga tidak boleh ubah rejim (latihan) secara drastik. Cuma pemahaman oleh pemain itu yang berbeza mengikut spesifikasi badan, tindakan dan cara pemikiran masing-masing. Mungkin ada yang cergas, otak tidak jalan, ada yang fizikal bagus tetapi malas.

“Yang sewajarnya ialah saya akan lihat dahulu daripada jurulatih yang mengendalikan mereka sebelum ini (jadi kita akan tahu) siapa yang boleh disasarkan keputusan tertentu atau siapa yang boleh bantu untuk jadi rakan sepelatih.

“Yang remaja juga harus belajar bagaimana mahu diserap jadi pemain elit dan yang elit perlu bertahan atau cuba pergi jauh lagi atau setaraf Datuk Lee Chong Wei (perseorangan utama negara),” katanya, yang merupakan naib juara Piala Dunia 1982 dan All England 1986 serta anggota skuad naib juara Piala Thomas 1988.

Mengenai sama ada dia akan kembali mengiringi Chong Wei dalam menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, bulan depan, Misbun berkata keputusan akan dibuat bergantung kepada keselesaannya.

“Kesesuaian dengan jurulatih itu amat penting. Kalau dia mahu Hendrawan yang ikut, saya akan bantu berikan apa latihan yang diperlukannya,” katanya.

Tambah Misbun, Chong Wei kini perlu dibantu dari segi maklumat mengenai pemain lawan yang lebih muda yang sebelum ini menjadikannya ikon tetapi kini kian kerap menggugatnya seperti dari India, Taiwan dan Hong Kong.

“Mereka ini sudah tahu kekuatan dan kelemahan Chong Wei. Dia mungkin tidak sedar kerana kena tengok ramai lawan. Untuk dirinya siapa yang hendak tolong tengokkan dan ada sedikit elemen yang dia tidak perasan (jadi) apabila bermain, dia tersilap buat keputusan,” katanya.

Misbun juga mengalu-alukan pelan induk baharu BAM yang turut menyasarkan Piala Thomas 2018.

“Satu sasaran yang bagus dan bernas bagi sesebuah persatuan. Dulu kita juga pernah memenangi­nya.

“Sekarang kena usahakan bagaimana untuk mencapai sasaran penting itu dengan menyediakan sama ada dua perseorangan dan satu beregu atau satu perseorangan dan dua beregu,” katanya.

Sementara itu Chong Wei yang ditemui selepas sidang akhbar itu melahirkan rasa gembira de­ngan kehadiran semula sifunya di BAM selepas ‘terpisah’ sejak 2010, malah berharap dapat bekerjasama dalam membantu memajukan 13 pemain perseorangan negara.

“Saya memang memerlukan Datuk Misbun ke Kejohanan Du­nia yang berbeza dengan Sukan Olimpik dan lebih getir. China, misalnya kalau dalam Olimpik hanya boleh bawa dua pemain tetapi di Glasgow, mereka sudah ada empat pemain.

“Kejohanan Dunia ini mungkin percubaan terakhir saya untuk dimenangi. Tekanannya memang ada tetapi saya akan buat sedaya upaya,” katanya yang pencapai­an terbaiknya dalam kejohanan itu ialah naib juara 2011, 2013 dan 2015.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here