dasar luar negara

“Amalan dasar luar yang terbuka terhadap negara-negara lain telah memberi peluang pelaburan dan perdagangan untuk memangkin ekonomi Malaysia,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Malaysia telah banyak mengaut keuntungan daripada pelaburan dan perdagangan dengan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) yang bernilai berpuluh-puluh bilion Ringgit.

Oleh itu, kata Najib, adalah wajar bagi Malaysia meneruskan pelaburan dalam sumber yang boleh membawa pulangan.

“Namun, pembangkang mempertikai tujuan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) melabur di Amerika Syarikat.

“Hakikatnya, KWSP memang sentiasa mencari peluang pelaburan bagi mendapatkan pulangan untuk membayar dividen kepada para pencarum,” katanya dalam artikel ‘Ucapan Perdana Menteri Mengenai Dasar Luar Negara Yang Terbuka’, yang dimuat naik di laman www.najibrazak.com.my hari ini.

Dalam pertemuannya dengan Presiden AS Donald J. Trump di Washington DC pada Rabu, Perdana Menteri berkata KWSP dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan di sana dan memberi lebih banyak pesawat Boeing bagi meningkatkan ekonomi negara itu.

KWSP dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1=RM4.19) di AS.

Najib berkata KWSP telah beberapa tahun melabur dalam pasaran saham AS dan Eropah bagi meningkatkan kadar pulangan dividen untuk para pencarum, malah pertemuannya dengan Trump adalah untuk menambah peluang pelaburan bagi syarikat itu.

“Rundingan pembelian jet Boeing itu pula telah dilakukan kerana Malaysia Airlines memang sudah ada rancangan untuk membeli kapal terbang baharu sebelum pertemuan di Rumah Putih berlangsung tempoh hari,” katanya.

Selain AS, Malaysia telah berjaya merundingkan pelaburan bernilai lebih RM100 bilion dengan China pada tahun ini.

“Sedarlah, pembangkang dari awal lagi tidak senang duduk melihat Malaysia berjaya menjalin hubungan mesra dengan negara-negara lain kerana jelas segala tohmahan palsu mereka selama ini tidak perlu diendahkan,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here