APABILA Sultan Kelantan merangkap Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran negeri Kelantan yang membawa gelaran “Datuk” daripada Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa dan Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah melalui satu surat kelmarin, ia memberi isyarat jelas kepada AMANAH bahawa parti itu kini berdepan jalan yang maha sukar untuk ‘menakluk’ Kelantan.

Mana tidaknya, jika hendak dibandingkan dengan kesemua negeri di Malaysia, Kelantan diyakini bakal menjadi negeri di mana pertarungan Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan dikepalai secara dominan oleh AMANAH, tidak seperti di kebanyakan negeri yang lain di mana AMANAH hanya ‘menikmati’ sisa-sisa kerusi yang ada.

Tambahan pula, dua individu yang ditarik darjah kebesaran mereka itu merupakan pemimpin tertinggi AMANAH Kelantan. Bahkan Husam sendiri selalu disebut-sebut sebagai bakal menteri besar negeri itu sekiranya PH berjaya menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PAS yang ada pada hari ini.

Umum juga mengetahui, sejak PAS meninggalkan pakatan pembangkang pada 2015, Husam yang juga merupakan ADUN Salor kerap bertikam lidah dengan pimpinan kerajaan PAS Kelantan dan babak seumpama itu acapkali terlihat dalam sidang DUN sejak kebelakangan ini.

Dalam ‘pertembungan’ ideologi politik AMANAH dengan PAS, sebahagian besar penyokong tegar PAS khususnya di Kelantan masih lagi mengingati dengan jelas bagaimana Husam dan parti Islam itu terlibat dalam satu pertikaian serius mengenai pemilikan tanah dan bangunan Wisma Tok Guru di Salor. Isu pemilikan tanah tersebut selesai pada November tahun lalu dengan kemenangan berpihak kepada PAS, sementara status pemilikan wisma itu pula antara Husam dengan PAS masih perlu diputuskan oleh proses undang-undang.

Rakyat Berspekulasi

Penarikan balik darjah kebesaran Husam dan Wan Abd Rahim ini tentu sekali tidak melibatkan sebarang campur tangan kerajaan negeri mahupun mana-mana pihak luar. Ini kerana soal pengurniaan pingat ataupun darjah kebesaran adalah hak eksklusif istana, tidak kiralah di mana-mana negeri beraja atau bersultan sekalipun. Begitulah juga dalam hal penarikan balik kesemua pingat dan darjah kebesaran itu yang masih tertakluk di bawah kuasa eksklusif istana.

Maka sebarang persepsi songsang yang cuba mengaitkan kerajaan negeri Kelantan dengan penarikan balik darjah kebesaran Husam dan Wan Abd Rahim ini tentu sekali tidak betul dan menyimpang. Bercakap tanpa sandaran fakta yang sahih sememangnya mudah, apatah lagi Husam dan Wan Abd Rahim kini berdiri atas kapasiti blok politik pembangkang di Kelantan.

Hakikatnya, hal penarikan balik darjah kebesaran ini pernah juga terjadi kepada ketua kerajaan negeri. Pada 22 April 2016, negara dikejutkan dengan pelucutan semua darjah kebesaran yang dikurniakan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Setelah beberapa bulan iaitu sekitar awal Disember 2016, akhirnya darjah kebesaran itu dikembalikan kepada Razif atas perkenan Sultan.

Pada waktu itu, rakyat terus berspekulasi mengenai apakah sebab sebenar yang mendorong Sultan Mizan menarik balik darjah kebesaran pada waktu tersebut, sama seperti spekulasi yang mula timbul sebaik sahaja berita mengenai penarikan balik darjah kebesaran terhadap Husam dan Wan Abd Rahim mula tersebar semalam. Namun hakikatnya, pihak istana jualah yang lebih mengetahui apakah punca sebenar yang mendorong penarikan balik darjah kebesaran seumpama itu dilakukan, dan apakah pula bentuk tindakan bekas penerima yang mengundang ‘kemurkaan’ istana, jika ada.

Menteri Besar Tak Jadi?

Apa pun, penarikan balik darjah kebesaran Husam dan Wan Abd Rahim ini sememangnya tidak dapat tidak memberitahu rakyat Kelantan bahawa di sana pasti ada tindakan kedua-dua individu tersebut yang tidak disukai oleh pihak istana. Apabila ia sudah melibatkan penarikan balik darjah kebesaran, tentulah ‘kesalahan’ itu sudah sampai ke tahap yang serius.

Lantas ia menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat Kelantan dan pimpinan PH khasnya; jika belum apa-apa lagi sudah ‘mencipta’ konflik dengan pihak istana, bagaimana Husam mahu memimpin kerajaan negeri kelak jika PH terbukti berjaya menawan Kelantan? Apakah pula bentuk hubungan yang bakal wujud antara kerajaan pimpinan Husam dengan Istana Kelantan jika negeri itu berjaya mereka tadbir?

Di Malaysia ini, hubungan baik dengan istana adalah kunci kepada pentadbiran cemerlang mana-mana kerajaan negeri sekalipun. Berkonflik dengan istana bermakna mengundang krisis dengan rakyat. Kerajaan seumpama itu pasti sahaja rapuh dan tidak akan kekal.

Perkembangan terbaharu ini juga membangkitkan persoalan serius samada kehadiran PH khususnya AMANAH benar-benar diterima di Kelantan, dan adakah mereka benar-benar mampu menembusi benteng kebal PAS menjelang pilihan raya umum (PRU) kelak. PH kini hanya mempunyai dua kerusi DUN di Kelantan daripada jumlah keseluruhan 45 kerusi yang ada. Pakatan itu diwakili AMANAH melalui Husam dan PKR melalui Mohd Roslan Puteh (Guchil).

Husam pula adalah calon menteri besar yang awal-awal lagi sudah direstui pimpinan PH khususnya Penasihat DAP Lim Kit Siang jika pakatan itu berjaya menakluk Kelantan kelak. Tetapi dengan munculnya perkembangan terbaharu ini, impian Husam untuk mengetuai kerajaan negeri tersebut mungkin terkubur begitu sahaja.

Ketika PH tampak ‘terlalu’ yakin untuk bertarung dan bersaing dengan PAS di Kelantan pada edisi PRU depan, pihak istana pula seolah-olah sudah menghantar satu isyarat jelas kepada rakyat negeri itu mengenai ‘warna’ sebenar Husam, Wan Abd Rahim dan pimpinan AMANAH secara keseluruhannya. Tentu sahaja ianya membuatkan PH tersentak daripada lamunan mereka apabila menyedari laluan mereka untuk menawan Kelantan kini bukan sahaja dihalang oleh pengaruh kuat PAS dan prestasi meningkat BN, bahkan langkah pakatan itu juga kini seolah-olah mati apabila institusi tertinggi di Kelantan nampaknya tidak ‘merestui’ pimpinan yang mereka pertaruhkan di negeri tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here