DAP

DAP disarankan tidak bertanding di negeri ini kerana bukan sahaja dijangka tidak mampu menang, malah gagal mendapatkan deposit jika bertanding pada PRU14.

Adun Chukai, Hanafiah Mat berkata, pihaknya tidak berasa terancam dengan hasrat DAP untuk bertanding di kerusi yang mempunyai pengundi campuran seperti di Chukai, namun meramalkan DAP tidak mampu menang di kerusi tersebut.

Hanafiah berkata, selain Dun Chukai yang mempunyai pengundi campuran, Dun Bandar juga turut mempunyai kombinasi pengundi pelbagai kaum khususnya Cina tetapi ia bukan melibatkan keseimbangan antara pengundi Cina dan Melayu.

“Walaupun kedua-dua tempat itu ada pengundi Cina tetapi ia masih lagi didominasi oleh pengundi Melayu. Di Dun Chukai ada 15 peratus pengundi Cina manakala di Dun Bandar lebih kurang 25 peratus,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai hasrat DAP Terengganu untuk bertanding di satu kerusi Dun di negeri ini pada PRU14.

Pengerusinya, Ng Chai Hing berkata, ia selari dengan hasrat DAP Pusat supaya calon parti itu diletakkan di kesemua negeri sambil memberitahu hanya Terengganu dan Kelantan tidak mempunyai calon DAP pada PRU lalu.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kawasan sesuai di negeri ini khususnya yang mempunyai pengundi Cina yang ramai seperti Chukai kerana menjangka potensi DAP untuk menang di kawasan campuran agak cerah.

Hanafiah yang juga Penolong Setiausaha II Pas Terengganu berkata, senario politik di Terengganu tidak sama dengan pantai barat kerana pengundi lebih beri tumpuan kepada dua parti besar iaitu Umno dan Pas.

Beliau berkata, dibandingkan PKR, parti itu dilihat lebih diterima pengundi pantai timur berbanding DAP.

“Lebih baik DAP beri tumpuan di Pantai Barat kerana tiada potensi di pantai timur dan jika nasib tidak baik, akan menyebabkan hilang deposit,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan supaya DAP memberi tumpuan di Pulau Pinang.

Beliau tidak menolak, perubahan politik dengan gabungan PR yang sudah terputus antara kedua-duanya mampu mempengaruhi keputusan di Pulau Pinang memandangkan beberapa kerusi yang menang di negeri itu adalah hasil sokongan daripada pengundi Pas pada PRU13 lalu. -Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here