Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung pada masa akan datang akan menyaksikan DAP sebagai parti paling selamat dan selesa berhadapan dengan lawan di kawasan mereka.

Ini kerana menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib, potensi undi orang Cina masih dilihat sebagai penyumbang utama kepada mereka.

“DAP akan menang besar kali ini, sementara PKR akan mati serta ia akan mendorong kepada dominasi mutlak DAP dalam Pakatan.

“PKR akan mati akibat tidak ada jentera kempen menyeluruh. PKR bukan sahaja akan hilang jentera, malahan undi penyokong Pas juga hilang jika bertanding pelbagai penjuru,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Menurutnya lagi, sekiranya Selangor dan Pulau Pinang kekal di tangan Pakatan, beliau juga menjangkakan DAP akan menguasai kerajaan negeri itu secara mutlak, meskipun tanpa PKR dan Amanah.

“Andaian politik memperlihatkan kaum Cina sebagai pengundi mutlak DAP walaupun mereka terdiri dari ahli parti yang lain.

“Kawasan majoriti kaum Cina akan terus dikuasai secara mutlak oleh DAP,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerusi yang melibatkan pengundi Cina melebihi 50 peratus dijangka hanya akan melibatkan pertembungan antara calon BN dan DAP, sementara kerusi majoriti Melayu dan campuran akan menyaksikan pertarungan pelbagai parti.

“Pertarungan paling sengit mungkin akan melibatkan kerusi-kerusi diĀ  Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah serta Johor.

“Paling panas saya jangkakan di Selangor, kerana ianya lebih melibatkan ‘gusti’ antara Pas dengan parti yang dianggap proksi DAP,” katanya lagi.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here