Azmin

Satu perkara yang mengharukan tentang Pakatan Harapan (PH) selain daripada polemik siapa mahu jadi Perdana Menteri ialah kewujudan dua gabungan politik yang mengelirukan. Ini terjadi apabila Pakatan Harapan telah ditubuhkan di peringkat kebangsaan, tetapi di peringkat negeri khasnya seperti Selangor keadaannya jelas berbeza apabila masih belum wujud PH secara formal di negeri berkenaan. Lebih memeritkan Menteri Besar sedia ada, masih memberikan komitmen penuh terhadap Pakatan Rakyat (PR), gabungan pembangkang yang telah berpecah.

Berdasarkan kepada analisis semasa keadaan ini terjadi kerana Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak amat memerlukan sokongan besar daripada penyokong Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk terus berada mengekalkan penguasaan di kawasan Parlimen berkenaan. Sudah terbukti berasaskan kepada fakta dan angka undi penyokong PAS merupakan penyelamat Azmin pada setiap kali pilihan raya di kawasan Parlimen berkenaan.

Sehubungan itu, tidak hairan untuk Azmin menyatakan komitmen untuk mengekalkan pentadiran PR di Selangor yang turut diwakili pemimpin PAS, walaupun sebenarnya PR telah lama berkubur. Tindakan Azmin ini sebenarnya lebih kepada satu cubaan untuk memastikan kuasa politiknya dapat dikekalkan.

Tindakan dan kenyataan Azmin ini sebenarnya tidak disenangi oleh kebanyakan pemimpin lain dalam PH dan pada pandangan majoriti gabungan pembangkang yang paling ampuh ketika ini ialah PH dan bukannya PR yang telah lama menghilangkan diri.

Setiausaha Agung parti Azmin sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution sendiri memberikan kenyataan yang bercanggah dengan pandangan Azmin dan beliau dengan tegas menyebut PR sudah tidak lagi wujud lagi di Selangor kerana salah sebuah Parti yang sebelum ini bersama-sama dengan PR kini sudah mula lunak dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan Saifuddin itu dipercayai merujuk kepada PAS dan bagi beliau soal mandat rakyat sudah tidak wujud lagi kerana mandat rakyat kepada gabungan pembangkang ialah untuk melawan Kerajaan UMNO-BN dan bukannya bermesra dengan mereka. Apa yang disebutkan Saifuddin ini jelas bernada keras dan bagi beliau kini hanya ada PH dan bukan PR. Ini sekaligus meletakkan kedudukan Azmin dalam tanda tanya dan jelas Azmin kini membelakangi keputusan partinya sendiri. Tidak pasti apakah langkah politik Azmin dan mungkinkah kerana terlalu takut untuk kehilangan undi, maka Azmin rela tunduk dan tidak mahu mendengar arahan parti sendiri.

Selain Saifuddin, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) menegaskan gabungan PR sudah tidak lagi wujud dan beliau menegaskan Pulau Pinang kini ditadbir oleh PH. Ini satu lagi kenyataan yang meletakkan Azmin dalam posisi menyukarkan kerana dua parti dominan dalam PH menolak pandangan beliau. Azmin sebenarnya perlu tegas dan memiliki pandangan setara dalam menentukan hala tuju politik beliau. Tidak wajar untuknya bermain langkah politik sumbang seperti ini yang sebenarnya boleh menjerat cita-cita politiknya nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here