DAP Melaka yakin mampu mempertahankan kesemua kerusi dimenangi mereka pada PRU13, walaupun berhadapan cabaran getir termasuk tindakan tiga Adun dan seorang ahli parlimennya keluar parti.

Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, suasana semasa termasuk peningkatan kos sara hidup serta pembabitan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Pakatan Harapan (Harapan) memberi kelebihan kepada pembangkatan.

“Saya akui kita akan berhadapan cabaran getir pada PRU14 ini. Ia bukan sahaja isu hidup atau mati (do or die) untuk BN tetapi juga untuk Harapan.

“Bagaimanapun saya percaya pengundi kini lebih bijak buat keputusan sama ada mahu terus dibelenggu kos sara hidup tinggi atau sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian di sini,¬† hari ini.

Pada PRU13, DAP menang kerusi Dun Bachang, Kesidang, Duyong, Kota Laksamana, Banda Hilir dan Ayer Keroh selain mengaut kerusi Parlimen Kota Melaka.

Bagaimanapun, tindakan Adun Bachang, Duyong dan Kesidang serta Ahli Parlimen Kota Melaka keluar parti tahun lalu, menyebabkan DAP kehilangan kerusi terbabit.

Mengenai kemungkinan DAP hilang empat kerusi terbabit ekoran ura-ura empat ahli politik ini akan mempertahankan kerusi mereka sebagai calon bebas, Poay Tiong, yang juga Adun Ayer Keroh berkata, beliau yakin penyokong DAP akan terus setia pada parti.

Beliau juga tidak menafikan, keempat-empat ahli politik ini mempunyai penyokong sendiri ekoran pembabitan dalam dunia politik sejak sekian lama.

“Ingin saya ingatkan kepada pengundi bahawa sekiranya mereka memilih calon bebas ia bermakna undi akan dipecahkan dan ini akan menguntungkan BN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here