Shahidan

KUALA LUMPUR: DAP sepatutnya mengetuai Pakatan Harapan (PH) kerana parti itu mempunyai kerusi Parlimen paling banyak di kalangan gabungan 4 parti pembangkang itu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, DAP memiliki 37 kerusi Parlimen berbanding 3 parti komponen lain dalam PH.

“Sekarang ini, untuk membolehkan sesebuah parti itu memimpin dalam politik, parti yang (mempunyai kerusi) majoriti itu akan jadi ketua.

“Dalam Barisan Nasional (BN), ketuanya Umno kerana Umno ada 88 kerusi. Tetapi dalam pembangkang, DAP ada 37 kerusi, PKR ada 29 kerusi, Amanah ada 8 kerusi dan PPBM ada 1 kerusi.

“Bagaimana satu (kerusi) mahu jadi ketua? Siapa kerusi majoriti, dia jadi ketua,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, Lim Kit Siang ialah ketua sebenar PH dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar boneka gabungan pembangkang itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here