Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dilihat gagal memberikan perancangan pembangunan yang berkesan kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng juga gagal menyelesaikan pelbagai permasalahan yang melanda Pulau Pinang sejak DAP mentadbirnya selama sembilan tahun.

“Kita boleh lihat sekarang tembelang dia (Lim Guan Eng) sudah pecah. Selama memerintah Pulau Pinang selama sembilan tahun ini, kita lihat beliau cuba memanipulasikan isu-isu negeri ini dengan menyalahkan kerajaan terdahulu berkenaan isu rakyat yang gagal diselesaikannya, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA Pulau Pinang di sini, malam ini.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata ketua menteri Pulau Pinang itu hanya menabur pelbagai janji tetapi tidak menyelesaikan masalah yang melanda negeri itu termasuk  masalah banjir, isu kesesakan lalu lintas dan alam persekitaran.

“Saya rasa rakyat Pulau Pinang sudah muak dengan cara beliau (Lim) yang telah memberikan satu keadaan yang buruk kepada negeri ini apabila pelbagai permasalahan tidak dapat diselesaikan,” katanya,

Sementara itu, Tiong Lai berkata MCA sudah menyerahkan senarai nama calon parti berkenaan yang akan bertanding dalam PRU14 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk penelitian.

Berhubung saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempelawa parti-parti politik untuk menghantar senarai calon bagi disaring agar bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa, Tiong Lai berkata,  MCA sentiasa memastikan calonnya bebas daripada kes mahkamah, bankrup serta menpunyai kesihatan yang baik.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng.-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here