dap mendominasi

Walaupun DAP tidak bertanding dalam banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU), sebenarnya parti itu yang mendominasi parti dalam pakatan pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata perkara itu dapat dilihat apabila DAP mendominasi terutama dalam pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

Beliau memberi contoh berkaitan kelulusan pesta makanan dan minuman Jerman yang turut membabitkan arak yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Sebenarnya, walaupun Selangor ditadbir oleh seorang Menteri Besar yang beragama Islam dari pakatan pembangkang, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka mesti mengikut apa yang DAP mahukan,” katanya.

Beliau berkata dalam isu pesta arak itu, walaupun PAS dan PKR adalah sebahagian daripada kerajaan negeri, DAP yang menentukan atau mempengaruhi tindakan kerajaan negeri Selangor.

“DAP dalam politik ini memang matlamat dan strategi mereka adalah untuk menguasai. Jadi banyak daripada kita tidak perasan apa yang ditawarkan oleh pakatan pembangkang sebenarnya adalah sebuah kerajaan yang akan dikuasai DAP. Ini tidak boleh mereka nafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Dialog Perjuangan 4 All di Dewan Bangunan UMNO Bahagian Bakri di sini, hari ini.

Sehubungan itu Annuar berkata, pihaknya mesti memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perkara ini dan kini orang DAP dilihat cuba untuk memperalatkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam politik sekarang, Dr Mahathir bukan isu malah beliau adalah problem (masalah) dan bukannya solution (penyelesaian).

“Kalau fikir Dr Mahathir boleh selesaikan masalah, mereka silap sebab sebahagian besar masalah yang dibawa beliau (Dr Mahathir) sedang diuruskan oleh Najib.

“Beliau (Dr Mahathir) bukan satu penyelesaian tetapi DAP menggunakan beliau walaupun tahu Dr Mahathir adalah punca masalah tetapi kali ini DAP gunakan beliau. Yang akan menguasainya kelak adalah DAP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here