Anggota yang bertugas di balai polis Damansara terkejut apabila seorang lelaki membawa bersama mayat teman wanitanya dalam kereta yang dipandunya ke balai polis itu lalu menyerah diri.

Lelaki itu mendakwa dia membunuh teman wanitanya di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara sebelumnya.

Suspek berusia 37 tahun kelihatan tenang apabila dia mengaku menikam mangsa berusia 35 tahun sebelum membawa mayatnya dalam kereta Honda City ke balai polis tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din memberitahu pemberita, suspek menyerah diri kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

“Dia yang datang dengan berpakaian lengkap dan dalam keadaan biasa sahaja dipercayai menikam mangsa dalam kereta.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditikam pada leher menggunakan senjata tajam yang turut ditemui dalam kereta milik mangsa dengan kesan darah,” katanya.

Mohd Zani berkata, pasangan kekasih itu bekerja di kondominium sama di Kota Damansara dan berkenalan kira-kira 2 tahun.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kami akan memberikan identiti mangsa setelah keluarganya dimaklumkan mengenai kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mayat wanita itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok,” katanya.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here