PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed menafikan wujud perbincangan antara Presiden Umno Najib Razak dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menyerahkan Kelantan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mustapa, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata dakwaan itu sengaja ditimbulkan oleh anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin sebagai helah politik semata-mata.

“Ia sengaja dicetuskan bagi menunjukkan pergeseran antara saya dan Najib serta strategi pihak lawan memandangkan PRU14 semakin hampir.

“Dakwaan itu dilemparkan bagi menunjukkan kita (BN Kelantan) tak serius untuk menang sedangkan kita bertekad untuk kembali memerintah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Banggol Kulim, Rantau Panjang hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Abdullah Mat Yassin dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Ab Ghani Harun.

Turut diadakan jualan minyak masak secara terus dari kilang dengan harga RM4 bagi 10 kilogram.

A Kadir baru-baru ini mendakwa Najib membuat keputusan “menyerahkan” Kelantan kepada PAS sebagai sebahagian daripada rancangan kerjasama pilihan raya Umno-PAS.

Beliau mendakwa keputusan itu dibuat secara bersendirian tanpa berunding dengan kepemimpinan Umno Kelantan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin Umno Kelantan yang lain, termasuk Mustapa.

Mustapa, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata beliau yakin BN Kelantan mempunyai peluang cerah untuk kembali mentadbir negeri itu berdasarkan perkembangan semasa politik negara.

“Atas kertas, jika ada pertandingan tiga penjuru akan menguntungkan BN kerana akan berlakunya pecah undi. Dalam masa yang sama kami yakin akan kembali mentadbir negeri ini kerana berlaku perubahan-perubahan (di peringkat akar umbi ketika ini),” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here