KUALA TERENGGANU: Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Chukai Hanafiah Mat daripada PAS kononnya beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) mahu menjadi wakil rakyat Bebas adalah tidak masuk akal. Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata dakwaan itu hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu perpecahan PAS semata-mata dan adalah isu lapuk yang sering digunakan PAS selama ini. “Sebagai Pengerusi BNBBC Terengganu mewakili rakan-rakan yang lain, pendirian kami adalah (dakwaan itu) tidak masuk akal walaupun tidak mustahil untuk mana-mana ADUN BN keluar daripada parti. “Namun yang menarik perhatian saya ialah sikap ‘terbuka’ ADUN Chukai itu yang menceritakan segala proses, niat serta strategi orang tertentu untuk menumbangkan kerajaan BN di Terengganu. “Dengan menceritakan segala-galanya sudah tentu ia bukan lagi menjadi strategi kerana tiada lagi elemen kejutan dan sekiranya benar ada ADUN BN yang akan berbuat demikian, apakah niat ADUN Chukai memaklumkan pada orang ramai melalui akhbar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan ADUN Chukai itu kononnya terdapat usaha beberapa ADUN BN Terengganu yang berjumpa dengannya untuk meminta sokongan ADUN PAS bagi meminta perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mewujudkan kerajaan negeri yang baharu. Malah Hanafiah yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu mendakwa beberapa ADUN BN itu hanya menunggu masa sesuai untuk mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas. Ketika ini Dewan Undangan Negeri Terengganu mempunyai 17 ADUN BN, 15 ADUN PAS dan seorang ADUN PKR.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here