Biarpun kumpulan ini berasal dari Bogor, Indonesia, mereka berjaya memikat peminat-peminat di negara ini. Nama Dadali sememangnya merupakan satu nama yang tidak asing lagi buat pengikut industri hiburan tempatan.

Semuanya, gara-gara lagu Di Saat Aku Mencintaimu yang diterbitkan sekitar tahun 2011. Lagu yang dibawakan oleh Dadali itu benar-benar berjaya mencuri hati ramai orang. Boleh dikatakan saban hari lagu itu diputarkan di corong-corong radio.

Kekuatan yang ada pada lagu itulah yang membawa Dadali terbang jauh sehingga kini. Muncul bertemu peminat di negara ini buat pertama kali pada tahun 2012, kali ini, selepas tiga tahun, Dadali datang sekali lagi.

Apa yang pasti kedatangan kali ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminat yang sudah lama mahu bertemu kumpulan yang dianggotai enam orang itu di sini.

“Syukur dengan penerimaan peminat yang diterima selama ini. Atas segala sokongan yang diberikan, tahun ini sekali lagi kami dapat bertemu dengan peminat-peminat di sini.

“Kali ini, kedatangan kami bukan sahaja untuk bertemu peminat, tetapi ia menjadi satu kenangan yang bermakna apabila kehadiran ke Malaysia ini juga bertujuan untuk melancarkan album kedua kami berjudul Di Saat Sendiri,” kata vokalisnya, Dyrga sewaktu pertemuan sesi fotografi di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Band yang mempertaruhkan single terbaharu berjudul Disaat Aku Tersakiti itu juga memberitahu mereka tidak menyangka sambutan yang diterima daripada peminat di negara ini cukup memberangsangkan.

“Sebelum ini, kami ada mengadakan konsert di Hong Kong bagi bertemu peminat di negara berkenaan. Bagaimanapun, di Malaysia ternyata kelompok peminat itu jauh lebih ramai. Lagipun, di negara ini juga yang membuatkan nama kami melonjak,” tambah Yuda selaku gitaris band itu.

Terkenal dengan lagu-lagu jiwang, kata Yuda, pilihan lagu tersebut ternyata menjadi formula terbaik buat kumpulan berkenaan untuk terus kekal bertapak dalam industri.

“Lagu jiwang ini lebih dekat di hati pendengar. Saya sendiri berasakan ia memang lebih mudah diterima. Jika didengar lagu-lagu daripada Dadali, muziknya juga tidak jauh berbeza.

“Jadi, kami tidak mahu bereksperimentasi dengan rentak lain kerana ini yang pendengar mahukan sebenarnya,” kata Yuda yang juga komposer lagu Di Saat Aku Tersakiti itu.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu Dadali, katanya, mereka kini dalam perancangan untuk bertemu peminat di Amerika Syarikat.

“Sebenarnya, kami bercadang untuk melakukan konsert di Amerika Syarikat pada masa akan datang. Ini kerana, ada peminat-peminat Dadali yang mahukan kami ke sana untuk bertemu mereka, terutamanya komuniti Indonesia yang ada di negara itu.

“Cuma sekarang ini banyak perkara yang perlu diambil kira termasuklah penyediaan visa untuk ke negara tersebut. Apa pun jika diizinkan, kami pasti ke sana untuk bertemu peminat yang selama ini banyak memberi sokongan kepada Dadali,” jelas Yuda yang memberitahu, video muzik single terbaharu mereka itu sudah mencecah lebih lima juta tontonan di YouTube.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here