Datuk Seri Mohamed Salleh Said Keruak berkata respon Pakatan Harapan (PH) kepada isu ” Coca-Cola atau Pepsi ” menunjukkan gabungan parti pembangkang itu tidak memahami pengundi.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata PH tidak sedar pengundi cuba memberitahu bahawa PH tidak lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) walaupun mereka cuba menyakinkan sebaliknya.

“PPBM menjawab walaupun Coke berbanding Pepsi, anda masih boleh mengundi Pepsi kerana ia mungkin mempunyai rasa yang lebih baik daripada Coke.

“PH seolah-olah terlepas pandang. Apabila seseorang berkata ‘Coke versus Pepsi’ ia bermakna tidak ada perbezaan di antara kedua-duanya,” kata Salleh di blognya malam tadi.

Beliau menjelaskan perdebatan itu dimulakan oleh aktivis politik yang berpendapat apa gunanya keluar mengundi jika pilihan hanya “Coke” atau “Pepsi”.

“Pengundi bertanya kenapa perlu mengundi jika kedua-duanya sama? Sekiranya PH hanya merupakan BN 2.0 maka adalah lebih baik biarkan BN kekal dalam tampuk pemerintahan.

“PH nampaknya seolah-olah tidak memahami mesej yang dihantar oleh pengundi,” kata Salleh.

Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas pihak yang membandingkan perlawanan antara PH dan BN dengan perbandingan antara Coca-Cola dan Pepsi.

Calon perdana menteri itu akui terkejut apabila diberitahu Pilihan Raya Umum ke-14, yang akan diadakan tidak lama lagi, tidak lebih dari memilih antara 2 minuman soda popular itu.

“Begitu rendahkah kebolehan kita berfikir dan membuat bandingan,” katanya.

Di internet dan media sosial, timbul seruan merosakkan kertas undi dalam kalangan mereka yang dikatakan kecewa dengan calon perdana menteri PH.

Sebelum ini, seorang aktivis dan bekas ahli PKR, Badrul Hisham Shaharin, mempertikaikan tindakan PH memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri melawan calon pilihan BN, Datuk Seri Najib Razak.

Dua-duanya kencing manis, potong kaki,” kata Badrul di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor 12 Januari lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here