Dalam Perhimpunan Agung MCA ke-64 yang berakhir Ahad lalu, semangat dan moral ahli-ahlinya amat tinggi. Ketika PRU semakin dekat, apakah situasi ini mampu mengembalikan sokongan pengundi kepada parti Cina ini?

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berucap dengan perasaan berkobar-kobar. Di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berjanji MCA akan mencapai kemenangan lebih besar dalam PRU akan datang.

Memang benar seluruh ahli MCA kini sudah bersatu padu dan bertekad mahu MCA kembali dihormati dan dan disokong oleh masyarakat Cina. Namun bagaimana dengan sokongan seluruh pengundi, lebih-lebih lagi pengundi Cina?

Ketika memberikan ucapan dalam perhimpunan itu, Najib yang juga Pengerusi BN berjanji akan memberi kesenangan dan kelebihan kepada masyarakat Cina, jika parti itu dapat meraih kemenangan besar pada PRU14.

Kata Najib, untuk mendapat lebih banyak bantuan daripada kerajaan, MCA perlu memainkan peranan untuk meraih sokongan pengundi Cina bagi membantu BN mencapai kemenangan lebih besar.

Dalam analisis berita yang disiarkan dalam Oriental Daily, penulis akhbar ini beranggapan pemimpin-pemimpin MCA yang mendengari ucapan Najib itu pastinya sedar akan tanggungjawab yang dipikul mereka.

Sekiranya MCA gagal memperbaiki prestasi mereka dengan menambahkan jumlah kerusi parlimen dan Dun, segala-gala yang dilakukan mereka hanya sia-sia sahaja.

“Sebab itulah kalau masyarakat Cina nak lebih lagi, tolong sokong BN lebih. Sekarang MCA ada tujuh ahli Parlimen sahaja, kalau 15 ahli Parlimen lebih kuat,” kata Najib seperti mengarahkan seluruh jentera MCA bekerja dengan lebih kuat lagi.

Kata akhbar ini, MCA kini seperti sudah bersiap sedia menghadapi PRU pada bila-bila masa daripada sekarang.

“Biarpun seluruh ahli parti ingin menang, namun keinginan ini tidak semestinya disimpan dalam hati pengundi. Sekalipun semua ahli sokong kepada MCA, ini bukan bermakna pengundi pun ikut sokong. Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh BN, khususnya MCA,” tulis akhbar ini.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here