Kementerian Pendidikan tidak akan menghalang mana-mana guru untuk berhimpun bagi memberi sokongan kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sebuah sekolah, Azizan Manap atau Cikgu Azizan yang dibicarakan kerana mendenda pelajarnya di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, esok.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan berhimpun untuk memberi sokongan kepada rakan guru adalah hak individu.

“Saya tiada halangan sekiranya warga guru ingin berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang terlibat dalam kes mahkamah.

“Setiap individu mempunyai hak tersendiri untuk menyatakan sokongan terhadap rakan mereka sendiri dan isu kehadiran di mahkamah ini adalah hak peribadi masing-masing,” katanya seperti yang dipetik menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta orang ramai terutama ahlinya supaya memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan dengan hadir ke mahkamah termasuk menyokong menerusi media sosial dengan tanda pagar ‘PrayForCikguAzizan’ yang menjadi tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Mengikut laman web www.pendidik2u.my, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi rakan, buli, memukul murid serta ponteng sekolah.

Sebutan kes berkenaan dibuat pada 31 Oktober lalu manakala 27 November lalu adalah penyerahan dokumen dan 19 Disember ini ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan kes.

Jika didapati bersalah,Cikgu Azizan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kalau jadi pada rakan kita, kita akan hadir juga untuk beri sokongan, begitu juga warga guru ini,” kata Mahdzir lagi.

Artikel berkaitan: Dilema Guru Berdepan Sikap Segelintir Ibu Bapa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here