Lin Dan dari China terus menghantui jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei apabila mudah menumpaskan jaguh perseorangan negara itu semalam.

Lin Dan, bekas juara dunia lima kali, hanya mengambil masa 46 minit untuk mengatasi Chong Wei menerusi kemenangan 21-17, 21-10 di pusingan kedua Kejohanan Siri Super Terbuka Jepun di Gimnasium Tokyo Metropolitan, Khamis.

Untuk rekod, ini adalah pertemuan ke-34 antara kedua-dua pemain sejak 2004 dengan Chong Wei hanya menang sembilan kali.

Kekalahan ini pasti sesuatu yang membimbang buat Chong Wei kerana ia adalah kejohanan Siri Super pertama untuknya musim ini selepas menjuarai Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Kanada, pada Jun lepas, sekembalinya daripada penggantungan lapan bulan akibat kesalahan doping.

Lin Dan kini dijadualkan bertemu rakan senegaranya, Tian Houwei pada saingan suku akhir, Jumaat.

Sebelum itu, Houwei mara selepas mencipta kejutan dengan menundukkan juara dunia yang juga pilihan utama, Chen Long dari China 21-16, 21-17.

Nasib Chong Wei turut dialami beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang kalah 15-21, 18-21 kepada juara dunia, Zhang Nan/Zhao Yunlei dari China.

Kem badminton negara bagaimanapun boleh menarik nafas lega selepas beregu lelaki utama, Goh V Shem/Tan Wee Kiong mara ke suku akhir.

Goh/Tan bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup/Anders Skaarup Rasmussen 15-21, 22-20, 21-16 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 63 minit.

Mereka kini akan berdepan pasangan Indonesia, Angga Pratama/Ricky Karanda Suwardi yang layak selepas menjinakan beregu Denmark, Mads Conrad Petersen/Mads Pieler Kolding 21-18, 21-15.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan bertaraf Siri Super itu yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah AS$275,000.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here