Jaguh Perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei bakal  menentang musuh tradisinya Lin Dan pada pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Jepun, hari ini.

Memulakan aksi dari pusingan kelayakan, Chong Wei dipaksa berhempas pulas untuk melepasi pusingan pembukaan sebelum menang 10-21, 21-15, 21-16 ke atas Boonsak Ponsana dari Thailand.

Seandainya berjaya menundukkan seteru lama, Lin Dan pada pusingan kedua, laluan masih tidak mudah buat Chong Wei kerana juara dunia, Chen Long pula menanti di suku akhir.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam kejohanan Siri Super tersebut turut diteruskan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. Juara Grand Prix Emas Terbuka Rusia, Peng Soon-Liu Ying memerlukan 41 minit untuk menewaskan wakil China, Wang Yilv-Luo Yu 21-16, 21-18. Menanti pasangan yang meng­huni ranking ke-17 dunia itu di pusingan kedua hari ini ialah pilihan utama dari China, Zhang Nan-Zhao Yunlei.

Liu Ying berkata, beregu-beregu dari China sentiasa menjadi hala­ngan utama mereka untuk mencatatkan pencapaian lebih baik sebagaimana sasaran mereka untuk kembali berada dalam kelompok lapan beregu terbaik dunia. Katanya, beberapa kejutan besar perlu dilakukan sekiranya mahu merealisasikan impian mereka dengan cepat.

“Kami kini berada di ranking ke-17 dunia, jadi selepas ini kami akan lebih banyak beraksi dalam kejohanan-kejohanan berstatus Siri Super yang mana tidak akan menjanjikan jalan yang mudah untuk kami walaupun pada peringkat awal.

“Bila-bila masa sahaja kami akan menentang pemain pilihan sebab itu kami mahu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia supaya kami turut disenaraikan sebagai pemain pilihan dan tidak bertemu mereka (beregu China) lebih awal,” katanya ketika dihubungi. Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut mara ke pusingan kedua selepas me­nyingkirkan wakil Jepun, Hiroyuki Saeki-Ryota Taohata 19-21,21-19, 21-16 dalam perlawanan yang memakan masa hampir sejam.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here