PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad mendesak Myanmar menamatkan kempen ketenteraan terhadap penduduk Islam Rohingya dan menggesa pelantikan seorang utusan khas PBB, walaupun menerima tentangan daripada China, Rusia dan beberapa negara serantau.

Satu resolusi yang dikemukakan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diterima pakai dengan undi 122 kepada 10 dengan 24 berkecuali.

China, Rusia, Kemboja, Laos, Filipina dan Vietnam menyertai Myanmar mengundi menentang langkah berkenaan sebagaimana Belarus, Syria dan Zimbabwe.

Resolusi itu menyeru kerajaan membenarkan akses kepada pekerja bantuan, memastikan kembalinya semua pelarian dan memberikan hak kerakyatan penuh kepada Rohingya.

Ia menggesa agar Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres melantik seorang utusan khas ke Myanmar.

Langkah itu diambil selepas jawatankuasa belanjawannya memberikan lampu hijau bagi membiayai jawatan baru utusan khas PBB ke Myanmar.

Lebih 650,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri dari negara yang majoriti penduduknya menganut agama Buddha sejak operasi tentera dilancarkan di negeri Rakhine pada akhir Ogos.

Pihak berkuasa Myanmar menegaskan kempen itu bertujuan mensasarkan militan Rohingya yang menyerang pos polis pada 25 Ogos tetapi PBB menyifatkannya sebagai tindakan keganasan pembersihan etnik.

Minggu lalu, pelapor khas PBB untuk Myanmar, Yanghee Lee, mengatakan beliau diharamkan dari negara itu dan kerajaan memutuskan semua kerjasama dengannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here