DAP telah bersetuju dengan keputusan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong untuk mencabar Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam, Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pencalonan Liew dijangka akan diumumkan ketika sambutan ulang tahun ke-52 DAP di Ayer Hitam pada 18 Mac ini.

“Calon Ayer Hitam adalah Liew Chin Tong,” seorang pegawai parti memberitahu The Malaysian Insight.

“Bagi DAP, Johor merupakan salah satu medan pertempuran utama di negara ini. Kami akan letak calon yang kuat untuk memastikan Pakatan Harapan secara kesuluruhannya akan menang,” kata pegawai itu.

Bulan lalu, The Malaysian Insight melaporkan bahawa kepimpinan DAP pada awalnya belum membuat keputusan ketika Liew menawarkan diri untuk mencabar Wee di Ayer Hitam.

Wee yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam selama tiga penggal dan juga seorang menteri, menang dengan majoriti 15,652 undi pada 2004. Undi majoritinya menurun sedikit kepada 13,909 undi ketika berlakunya tsunami politik 2008 dan terus mengurang kepada 7,310 undi pada 2013.

Terdapat dua kerusi DUN di Ayer Hitam, iaitu Yong Peng dan Semarang.

DAP mengalahkan MCA dan memenangi kerusi Yong Peng pada 2013 dengan majoriti 2,475 undi, manakala Semarang dimenangi Umno dengan 8,075 undi.

Bersatu akan bertanding di Semarang dan menentang Umno pada PRU14.

Menurut sumber parti, tempat Liew di Kluang bolhe digantikan dengan Adun Damansara Utara Yeoh Bee Heng.

Sekiranya itu berlaku, Bee akan mencabar Ketua Bahagian MCA Kluang yang juga bekas timbalan menteri Gan Ping Sieu.

Liew menewaskan Naib Presiden MCA Hou Kok Chung di Kluang pada 2013 dengan majoriti 7,359 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here