Penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea terus cemerlang merakam kemenangan ketiga berturut-turut, selepas menewaskan Leicester City 2-1 pada aksi EPL, sebentar tadi.

Aksi berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan beroleh peluang untuk membuka jaringan, sebelum penyerang Sepanyol, Alvaro Morata memberikan gol pendahuluan buat The Blues selepas menanduk masuk hantaran lintang Cesar Azpilicueta pada minit ke-41.

Chelsea terus garang apabila pemain tengah bertahan, N’Golo Kante menghukum bekas kelabnya itu menerusi percubaan leret daripada jarak 30 meter yang gagal diselamatkan Kasper Schmeichel pada minit ke-50.

Chelsea

Bagaimanapun, The Foxes mengurangkan defisit menerusi Jamie Vardy selepas tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti susulan terjahan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois ke atas penyerang England itu pada minit ke-62.

Jaringan itu nyata membangkitkan semangat Leicester untuk memburu gol penyamaan dan meskipun mengasak di hujung babak permainan, mereka gagal menembusi benteng Chelsea buat kali kedua, sekali gus terpaksa akur dengan keputusan 2-1.

Chelsea bakal meneruskan kempen mempertahankan kejuaraan apabila dijadual bertemu seteru London, Arsenal, Ahad depan, sementara Leicester City bakal bertemu pendatang baharu EPL, Huddersfield, pada Sabtu. – REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here