Pelakon, Chacha Maembong, 19, mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mengaku pernah berlagak ‘diva’ dan memandang rendah terhadap pelakon tambahan.

Menyedari sikap Chacha atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail Embong itu salah dan mengundang cakap-cakap belakang pihak lain, kakaknya yang juga pelakon cantik, Emma Maembong menjadi penyelamat dengan sentiasa menasihati Chacha supaya tidak terus hanyut.

Chacha berkata, dia menjadi begitu kerana kejutan budaya apabila namanya mula dikenali.

“Ketika itu saya belum jelas arah tuju dalam industri hiburan. Jadi saya lebih banyak membuat hal sendiri.

“Apabila sudah stabil, baru lebih terbuka. Saya baru sedar sikap sebelum ini salah dan tidak patut berlaku. Saya bersyukur kerana Emma banyak memberi nasihat.

“Emma berkali-kali pesan jangan mudah lupa diri. Sentiasa berpijak di bumi nyata dan ingat dari mana asal usul. Paling penting katanya, sentiasa hormat semua orang,” katanya.

Menurut Chacha, seboleh-bolehnya dia tidak mahu lagi dilabel sebagai artis bermasalah.

Bagi Chacha juga, apa dilihat selama ini dia menjadi diri sendiri.

Sikapnya itu juga dapat disaksikan menerusi penerbitan program realiti membabitkan dia, Emma dan seorang lagi kakaknya, Yaya.

“Program ini lebih kurang seperti Keeping Up With The Kardashians. Insya-Allah penggambarannya dilakukan bulan depan dan akan ditayangkan di Astro.

“Walaupun fokus lebih kepada kami bertiga tapi dalam masa sama penonton dapat melihat bagaimana perjalanan saya dan adik-beradik lain.

“Bukan nak menunjuk-nunjuk, tapi ia sekadar hiburan. Kami mahu memaparkan kehidupan sebenar kami sekeluarga. Semuanya menjadi diri sendiri dan bukan lakonan,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon siri sitkom Oh My English! Class 2015 ini enggan mengulas sama ada bapanya yang juga pelukis Ismail Embong turut terbabit dalam program realiti itu.

“Memandangkan semuanya masih dalam proses perbincangan fasa akhir, saya tak boleh bercerita lebih,” katanya.

Diejek tak bersekolah

Mungkin ramai sudah tahu kisah berkenaan Chacha tidak pernah bersekolah harian seperti orang lain. Namun, ramai juga tidak tahu Chacha sebenarnya bersekolah dari rumah.

Sama seperti pelajar lain, Chacha juga mengambil peperiksaan besar walaupun sebagai calon persendirian.

“Saya bersekolah dari rumah sejak kecil. Setiap hari cikgu datang ke rumah mengajar. Memang tak pernah merasa langsung suasana pembelajaran di sekolah seperti orang lain.

“Kalau nak tahu, saya diejek sebab tak bersekolah. Apabila berjumpa rakan, saya jadi kekok. Memang sedih memikirkan nasib ketika itu, tapi keluarga tak berhenti memberi sokongan,” katanya.

Chacha berkata, dia ada sebab tersendiri kenapa tidak bersekolah. Paling penting, dia tidak pernah beranggapan perkara itu satu kekurangan sehingga melemahkan semangatnya dalam meneruskan kehidupan.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here