KUALA LUMPUR 10 Sept. – Seseorang yang telah melanggar bai’ah yang disertakan dengan taklik cerai, sah jatuh talaknya selain perlu membayar kafarah kerana me­langgar sumpah dilafazkan.
Menegaskan perkara tersebut, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, bai’ah merupakan satu perjanjian de­ngan Allah S.W.T yang jika dilanggar, seseorang itu perlu membayar kafarah yang setimpal dengan sumpah tersebut.
Namun katanya, jika bai’ah yang dilafazkan mengandungi taklik cerai, ia tidak akan memba­talkan talak yang disebut.
“Sekiranya benar bai’ah yang dilafazkan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli mempunyai taklik cerai talak tiga, maka batallah perkahwinannya selain perlu membayar kafarah.
“Namun, saya menegaskan, segala keputusan perlu melalui Mahkamah Syariah. Jangan mudah meletakkan hukum tanpa sebarang siasatan dan kajian terperinci,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata de­mikian ketika di­minta mengulas pan­dangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengatakan perkahwinan Mohd. Hatta tetap terbubar dengan talak tiga kerana melanggar bai’ah yang pernah dilafazkan walaupun bernikah di luar Kelantan.
Pemimpin Pas Kelantan, Datuk Dr. Nik Mazlan Nik Mohammad sebelum ini meminta status perkahwinan Mohd. Hatta dirujuk kepada Mufti Perak kerana Ahli Parlimen Kuala Krai itu berkahwin di Perak.
Ahli Parlimen Kuala Krai tersebut sebelum ini berkata, bai’ah cerai talak tiga yang pernah dilafazkan ketika bersama Pas sebelum ini terbatal dengan sendirinya kerana te­lah membayar kafarah iaitu memberi makan 10 orang anak yatim.
Turut senada de­ngan Harussani, Mufti Kelantan, Mo­hammad Shukri Mo­hammad yang berkata, walaupun seseorang yang melafazkan bai’ah disertakan la­faz cerai itu bernikah di tempat yang berbeza dengan lokasi individu tersebut melafazkan bai’ah, sumpah tersebut tetap aktif dan tidak akan terbatal.
“Lafaz cerai tidak kira di mana-mana pun, tetap jatuh talak biarpun berkahwin di luar negara. Tempat bernikah tiada kena-me­ngena dengan lafaz cerai,” katanya. – UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here